Friday, January 9, 2009

Selamat Tahun Baru 1430 Hijrah & 2009 Masihi

Assalamualaikum & salam sejahtera buat semua.

Marilah sama-sama kita panjatkan rasa syukur yang sebanyak-banyaknya ~Alhamdulillah~ atas nikmat kesihatan yang diberikan oleh Allah dalam kita menjalani kehidupan seharian. Mudah-mudahan segala urusan kita dipermudahkan Allah, Insya-Allah.

Saya ingin mengambil kesempatan ini untuk mengucapkan salam tahun baru 1430 Hijrah & 2009 Masihi. Moga ruang masa yang akan kita lalui ini dapat kita manfaatkan sebaik mungkin dalam memperbaiki diri supaya menjadi yang lebih baik.

Apa agaknya azam anda ye untuk tahun baru? Bagi saya sendiri, saya mengimpikan diri akan berubah ke arah yang lebih baik serta lebih positif dalam melalui kehidupan.

Sama ada kita sedar atau tidak, semakin masa berjalan, semakin dekat kita menghadapi kematian dan semakin singkat masa kita untuk mempersiapkan diri dengan amal kebaikan. Juga yang pasti, apabila tibanya tahun baru, umur kita sudah tentunya makin bertambah. Dah makin tua la sebenarnya.

Tuesday, September 23, 2008

Hari-hari Terakhir Ramadhan

Agaknya bilakah waktu yang paling sibuk sepanjang tahun ini? Sepuluh hari terakhir Ramadan adalah jawapan paling tepat sesuai dengan perkhabaran daripada Ummul Mukminin Aisyah: “Adalah Rasulullah SAW sentiasa bersungguh-sungguh dalam beribadah pada Ramadan, tidak seperti bulan lain. Dan pada 10 malam terakhir Ramadan Baginda semakin bersungguh-sungguh dalam beribadah tidak seperti pada malam lain.” (Hadis riwayat Muslim)

Allah menjanjikan syurga kepada orang yang istiqamah dalam firman-Nya yang bermaksud: “Sesungguhnya orang yang mengatakan: Tuhan kami ialah Allah, kemudian mereka tetap istiqamah. Maka tidak ada kekhuatiran terhadap mereka dan mereka tiada (pula) berduka cita. Mereka itulah penghuni syurga, mereka kekal di dalamnya; sebagai balasan atas apa yang mereka kerjakan.” (Surah al-Ahqaf, ayat 13-14)

Sesungguhnya malam al-Qadar hanya disediakan bagi mereka yang memiliki ciri keimanan unggul dan terpuji antaranya:

1. Tidak terpengaruh oleh persekitaran tidak sihat.

2. Bijak mengatur strategi dalam beribadat ketika sibuk.

3. Sentiasa dalam keadaan berperang melawan nafsu.

4. Merasai pertolongan Allah ketika mengharap turunnya rahmat.

Layakkah kita mendapat kemuliaan malam al-Qadar dengan kelemahan diri melawan nafsu dan sedikitnya amal? Sudikah kiranya Allah menerima seorang hamba yang diliputi kotoran maksiat?

Rasulullah SAW mengajarkan satu doa yang elok dibaca selepas sembahyang yang bermaksud: “Ya Allah bantulah hamba untuk mengingati-Mu, bersyukur kepada-Mu dan memperbaiki ibadatku.”

Sesungguhnya Dialah yang menolong hamba-Nya, memberi hidayah dan menunjukkan jalan. Entah berapa kali Allah memalingkan kita daripada kesesatan dan kelalaian. Tidak bolehkah pada akhir Ramadan ini menjadi momentum yang paling baik untuk perubahan?

Tuesday, September 16, 2008

Nuzul Quran

Peristiwa Nuzul al-Quran berlaku pada malam Jumaat, 17 Ramadan, tahun ke-41 daripada keputeraan Nabi Muhammad SAW perlu diingati dengan penuh keinsafan oleh umat Islam. Al-Quran mengandungi lebih 6,000 ayat adalah himpunan wahyu dan kitab panduan terakhir daripada Allah, diturunkan secara beransur-ansur selama 23 tahun kepada Rasul-Nya, Muhamad supaya menjadi petunjuk kepada seluruh umat.

Allah berfirman bermaksud: "Dan tidak Kami utuskan engkau (wahai Muhammad) melainkan untuk menjadi rahmat kepada seluruh alam." (Surah al-Anbiya', ayat 107)

Waktu penurunan al-Quran mengikut perancangan dan ketentuan Ilahi. Sesuai dengan kitab itu yang sungguh mulia, Allah juga memilih penghulu segala bulan yang terkenal dengan bulan keampunan, rahmat dan keberkatan iaitu Ramadan untuk menurunkannya.

Firman Allah bermaksud: "Ramadan adalah bulan diturunkan al-Quran sebagai petunjuk bagi manusia dan penjelasan daripada pembeza (antara yang hak dan batil)." (Surah al-Baqarah, ayat 185)

Al-Quran mengandungi pelbagai ilmu pengetahuan dalam segenap aspek, bukan saja suruhan dan larangan, malah merangkumi cerita alam ghaib, teladan dan ilmu pengetahuan. Peristiwa Nuzul al-Quran mengubah dan membina peradaban umat kerana al-Quran adalah hidayah, rahmat, syifa, nur, furqan dan pemberi penjelasan bagi manusia.

Segala isi kandungan al-Quran itu adalah perkara benar dan tidak perlu diragui oleh manusia. Sehubungan itu, peristiwa Nuzul al-Quran harus dihayati umat Islam kerana ia menjadi asas keimanan terhadap al-Quran bahawa ia adalah kalam Allah.

Bahkan, ia dilihat asas utama dalam pengakuan umat Islam terhadap kerasulan Nabi Muhammad SAW serta keyakinan Islam itu agama benar, satu-satunya agama yang diredai di sisi Allah. (Buku Peristiwa Bersejarah Bulan Ramadan)

Petikan artikel Berita Harian

Tuesday, September 2, 2008

Ahlan wa sahlan ya Ramadhan

Assalamualaikum dan salam sejahtera buat semua.

Diharap kita diberikan kesihatan yang baik, kebahagiaan dan kejayaan dalam hidup.

Ramadhan menjelma lagi. Alhamdulillah, syukur sebanyak-banyaknya kepada Allah kerana masih memberikan kesempatan memasuki sekolah tarbiyah Ramadhan pada 1429 Hijrah ini.

Marilah kita sama-sama menggunakan peluang keemasan ini mengimarahkan bulan penuh barakah ini sebaik-baiknya. Semoga kita dapat beribadah dengan penuh khusyuk dan tawaduk semata-semata mengharapkan keredaan dan rahmatNya.

Ya Allah
Ampunilah segala dosa-dosa kami
Berikan kami keimanan dan keyakinan yang teguh terhadapMu
Berikan kami ketenangan hati dan jiwa
Tunjukkanlah kami jalanMu yang lurus lagi benar
Semoga dengan kedatangan Ramadhan ini dapat mendidik kami menjadi orang yang orang yang bertakwa di sisiMu

Amin, ya Rabbal A'-Lamin

Monday, August 18, 2008

Qiyamullail

Qiyamullail adalah ibadat yang menghubungkan hati kita dengan Allah selain ia adalah sunat muakkad yang sangat dianjurkan oleh Nabi SAW.

Baginda SAW bersabda yang bermaksud: “Hendaklah kamu lakukan solat di tengah malam, sesungguhnya ia adalah kebiasaan orang salih sebelum kamu, ia boleh mendekatkan kamu kepada Tuhan, penghapus segala dosa, penghalang daripada terjebak kepada maksiat dan dosa dan penawar kepada penyakit yang ada di tubuh.” (Hadis riwayat Imam Ahmad dan Tirmizi)

Friday, August 15, 2008

Takbur, Hasad & Riak

Menurut Rasulullah SAW, ada tiga penyakit yang akan menghancurkan amalan seseorang iaitu yang pertama ialah takbur atau sombong.

Imam al-Ghazali dalam kitab 'Ihya Ulumuddin' berkata, takbur akan menjadi batas pemisah antara seseorang dengan kemuliaan akhlak. Orang takbur akan selalu mendustakan kebenaran, menganggap rendah orang lain dan meninggikan dirinya. Sedikit saja di hati ada sikap takbur, maka syurga akan menjauh, amalan tidak mempunyai erti.

Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: “Tidak akan masuk syurga seseorang yang dalam hatinya ada sikap takbur walaupun sebesar debu.” (Hadis riwayat Muslim)

Kedua, hasad atau iri hati (dengki). Ciri khas seorang pendengki adalah adanya rasa tidak rela melihat orang lain mendapat nikmat dan sangat berharap nikmat itu segera lenyap daripadanya. Ia susah melihat orang lain senang dan senang melihat orang lain susah. Dengki sangat berkesan menghancurkan kebaikan.

Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: “Dengki itu dapat memakan kebaikan sebagaimana api memakan kayu bakar.” (Hadis riwayat Abu Daud dan Ibnu Majah)

Ketiga, riak atau beramal kerana mengharap pujian orang lain. Riak adalah tingkatan terendah daripada amalan. Rasulullah SAW menyebutnya syirik kecil yang juga boleh menghapuskan kebaikan.

Allah tidak akan menerima suatu amalan yang dalamnya ada seberat debu saja perasaan riak. Hadis qudsi mengungkapkan bagaimana murkanya Allah kepada orang yang riak dalam amalannya.

Pada hari kiamat Allah berfirman, ketika semua manusia melihat catatan amalannya, “Pergilah kamu semua kepada apa yang kamu jadikan harapan (riak) di dunia. Lihatlah apakah kamu semua memperoleh balasan daripada mereka.” (Hadis riwayat Ahmad dan Baihaqi)

Firman Allah yang bermaksud: “Maka kecelakaanlah bagi orang yang solat (iaitu) orang yang lalai dari solatnya dan orang berbuat riak.” (Surah al-Maa'um, ayat 4 - 6)

Petikan tulisan Ibrahim Abdullah
Berita Harian, 15 Ogos 2008

Wednesday, August 13, 2008

Semangat Kejiranan

Keharmonian hidup berjiran sangat dititikberatkan Islam. Allah berfirman yang bermaksud: "Dan hendaklah kamu beribadat kepada Allah dan janganlah kamu sekutukan Dia dengan sesuatu apa juga; dan hendaklah kamu berbuat baik kepada kedua ibu bapa, kaum kerabat, anak yatim, orang miskin, jiran tetangga dekat, jiran tetangga jauh, rakan sejawat, orang musafir yang terlantar, dan hamba yang kamu miliki. Sesungguhnya Allah tidak suka kepada orang sombong takbur dan membanggakan diri." (Surah an-Nisa', ayat 36)

Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: "Barang siapa beriman kepada Allah dan hari akhirat, maka hendaklah dia berbuat baik kepada jiran tetangganya." (Hadis riwayat al-Bukhari).

Mengambil berat hidup berjiran sebenarnya perlu dipupuk sejak daripada kanak-kanak. Pada usia inilah anak mudah menyerap sebarang bentuk pendidikan diberi dan menerapkannya dalam kehidupan seharian, ibarat 'buluh yang dilentur dengan mudah dari rebungnya'.

Anak perlu dididik akan siapa dan apa pentingnya jiran sebelah-menyebelah dalam kehidupan. Hidup berjiran saling tak ubah seperti 'aur dengan tebing', saling perlu-memerlukan. Mana perkara silap, ditegur secara berhemah dan berhikmah, mana yang betul, dijadikan panduan dan pedoman semoga kehidupan sentiasa di bawah keredaan Allah.

Anak juga perlu tahu bahawa jiran itu terbahagi kepada beberapa kategori yang mempunyai hak dan keutamaannya tersendiri.
Kategori pertama adalah jiran bukan Islam yang mempunyai satu hak, iaitu hak berjiran. Kategori kedua adalah jiran beragama Islam yang mempunyai dua hak, iaitu hak jiran dan hak Islam. Manakala kategori ketiga pula adalah jiran beragama Islam yang mempunyai hubungan kekeluargaan, yang memiliki tiga hak, iaitu hak jiran, hak Islam dan hak kekeluargaan.


Ibu bapa sendiri perlu menunjukkan contoh teladan sebaiknya kepada anak dalam hal kehidupan berjiran. Jika kita sendiri mengadu domba, bermusuhan dan mengasingkan diri daripada bertemu mesra dengan jiran, tidak hairanlah jika anak kita turut sama berbuat sedemikian.

Berilah pedoman kepada anak untuk memuliakan jiran tetangga seumpama mereka itu adalah sebahagian daripada keluarga terdekat yang sangat kita kasih.

Petikan tulisan Khairunneezam Mohd Noor
Berita Harian, 13 Ogos 2008