Tuesday, September 23, 2008

Hari-hari Terakhir Ramadhan

Agaknya bilakah waktu yang paling sibuk sepanjang tahun ini? Sepuluh hari terakhir Ramadan adalah jawapan paling tepat sesuai dengan perkhabaran daripada Ummul Mukminin Aisyah: “Adalah Rasulullah SAW sentiasa bersungguh-sungguh dalam beribadah pada Ramadan, tidak seperti bulan lain. Dan pada 10 malam terakhir Ramadan Baginda semakin bersungguh-sungguh dalam beribadah tidak seperti pada malam lain.” (Hadis riwayat Muslim)

Allah menjanjikan syurga kepada orang yang istiqamah dalam firman-Nya yang bermaksud: “Sesungguhnya orang yang mengatakan: Tuhan kami ialah Allah, kemudian mereka tetap istiqamah. Maka tidak ada kekhuatiran terhadap mereka dan mereka tiada (pula) berduka cita. Mereka itulah penghuni syurga, mereka kekal di dalamnya; sebagai balasan atas apa yang mereka kerjakan.” (Surah al-Ahqaf, ayat 13-14)

Sesungguhnya malam al-Qadar hanya disediakan bagi mereka yang memiliki ciri keimanan unggul dan terpuji antaranya:

1. Tidak terpengaruh oleh persekitaran tidak sihat.

2. Bijak mengatur strategi dalam beribadat ketika sibuk.

3. Sentiasa dalam keadaan berperang melawan nafsu.

4. Merasai pertolongan Allah ketika mengharap turunnya rahmat.

Layakkah kita mendapat kemuliaan malam al-Qadar dengan kelemahan diri melawan nafsu dan sedikitnya amal? Sudikah kiranya Allah menerima seorang hamba yang diliputi kotoran maksiat?

Rasulullah SAW mengajarkan satu doa yang elok dibaca selepas sembahyang yang bermaksud: “Ya Allah bantulah hamba untuk mengingati-Mu, bersyukur kepada-Mu dan memperbaiki ibadatku.”

Sesungguhnya Dialah yang menolong hamba-Nya, memberi hidayah dan menunjukkan jalan. Entah berapa kali Allah memalingkan kita daripada kesesatan dan kelalaian. Tidak bolehkah pada akhir Ramadan ini menjadi momentum yang paling baik untuk perubahan?

Tuesday, September 16, 2008

Nuzul Quran

Peristiwa Nuzul al-Quran berlaku pada malam Jumaat, 17 Ramadan, tahun ke-41 daripada keputeraan Nabi Muhammad SAW perlu diingati dengan penuh keinsafan oleh umat Islam. Al-Quran mengandungi lebih 6,000 ayat adalah himpunan wahyu dan kitab panduan terakhir daripada Allah, diturunkan secara beransur-ansur selama 23 tahun kepada Rasul-Nya, Muhamad supaya menjadi petunjuk kepada seluruh umat.

Allah berfirman bermaksud: "Dan tidak Kami utuskan engkau (wahai Muhammad) melainkan untuk menjadi rahmat kepada seluruh alam." (Surah al-Anbiya', ayat 107)

Waktu penurunan al-Quran mengikut perancangan dan ketentuan Ilahi. Sesuai dengan kitab itu yang sungguh mulia, Allah juga memilih penghulu segala bulan yang terkenal dengan bulan keampunan, rahmat dan keberkatan iaitu Ramadan untuk menurunkannya.

Firman Allah bermaksud: "Ramadan adalah bulan diturunkan al-Quran sebagai petunjuk bagi manusia dan penjelasan daripada pembeza (antara yang hak dan batil)." (Surah al-Baqarah, ayat 185)

Al-Quran mengandungi pelbagai ilmu pengetahuan dalam segenap aspek, bukan saja suruhan dan larangan, malah merangkumi cerita alam ghaib, teladan dan ilmu pengetahuan. Peristiwa Nuzul al-Quran mengubah dan membina peradaban umat kerana al-Quran adalah hidayah, rahmat, syifa, nur, furqan dan pemberi penjelasan bagi manusia.

Segala isi kandungan al-Quran itu adalah perkara benar dan tidak perlu diragui oleh manusia. Sehubungan itu, peristiwa Nuzul al-Quran harus dihayati umat Islam kerana ia menjadi asas keimanan terhadap al-Quran bahawa ia adalah kalam Allah.

Bahkan, ia dilihat asas utama dalam pengakuan umat Islam terhadap kerasulan Nabi Muhammad SAW serta keyakinan Islam itu agama benar, satu-satunya agama yang diredai di sisi Allah. (Buku Peristiwa Bersejarah Bulan Ramadan)

Petikan artikel Berita Harian

Tuesday, September 2, 2008

Ahlan wa sahlan ya Ramadhan

Assalamualaikum dan salam sejahtera buat semua.

Diharap kita diberikan kesihatan yang baik, kebahagiaan dan kejayaan dalam hidup.

Ramadhan menjelma lagi. Alhamdulillah, syukur sebanyak-banyaknya kepada Allah kerana masih memberikan kesempatan memasuki sekolah tarbiyah Ramadhan pada 1429 Hijrah ini.

Marilah kita sama-sama menggunakan peluang keemasan ini mengimarahkan bulan penuh barakah ini sebaik-baiknya. Semoga kita dapat beribadah dengan penuh khusyuk dan tawaduk semata-semata mengharapkan keredaan dan rahmatNya.

Ya Allah
Ampunilah segala dosa-dosa kami
Berikan kami keimanan dan keyakinan yang teguh terhadapMu
Berikan kami ketenangan hati dan jiwa
Tunjukkanlah kami jalanMu yang lurus lagi benar
Semoga dengan kedatangan Ramadhan ini dapat mendidik kami menjadi orang yang orang yang bertakwa di sisiMu

Amin, ya Rabbal A'-Lamin