Tuesday, September 23, 2008

Hari-hari Terakhir Ramadhan

Agaknya bilakah waktu yang paling sibuk sepanjang tahun ini? Sepuluh hari terakhir Ramadan adalah jawapan paling tepat sesuai dengan perkhabaran daripada Ummul Mukminin Aisyah: “Adalah Rasulullah SAW sentiasa bersungguh-sungguh dalam beribadah pada Ramadan, tidak seperti bulan lain. Dan pada 10 malam terakhir Ramadan Baginda semakin bersungguh-sungguh dalam beribadah tidak seperti pada malam lain.” (Hadis riwayat Muslim)

Allah menjanjikan syurga kepada orang yang istiqamah dalam firman-Nya yang bermaksud: “Sesungguhnya orang yang mengatakan: Tuhan kami ialah Allah, kemudian mereka tetap istiqamah. Maka tidak ada kekhuatiran terhadap mereka dan mereka tiada (pula) berduka cita. Mereka itulah penghuni syurga, mereka kekal di dalamnya; sebagai balasan atas apa yang mereka kerjakan.” (Surah al-Ahqaf, ayat 13-14)

Sesungguhnya malam al-Qadar hanya disediakan bagi mereka yang memiliki ciri keimanan unggul dan terpuji antaranya:

1. Tidak terpengaruh oleh persekitaran tidak sihat.

2. Bijak mengatur strategi dalam beribadat ketika sibuk.

3. Sentiasa dalam keadaan berperang melawan nafsu.

4. Merasai pertolongan Allah ketika mengharap turunnya rahmat.

Layakkah kita mendapat kemuliaan malam al-Qadar dengan kelemahan diri melawan nafsu dan sedikitnya amal? Sudikah kiranya Allah menerima seorang hamba yang diliputi kotoran maksiat?

Rasulullah SAW mengajarkan satu doa yang elok dibaca selepas sembahyang yang bermaksud: “Ya Allah bantulah hamba untuk mengingati-Mu, bersyukur kepada-Mu dan memperbaiki ibadatku.”

Sesungguhnya Dialah yang menolong hamba-Nya, memberi hidayah dan menunjukkan jalan. Entah berapa kali Allah memalingkan kita daripada kesesatan dan kelalaian. Tidak bolehkah pada akhir Ramadan ini menjadi momentum yang paling baik untuk perubahan?

No comments: