Monday, August 11, 2008

Hujung Minggu Yang Istimewa

Assalamualaikum buat semua.
Sobahul khair?
Semoga kita semua sentiasa diberikan kesihatan yang berpanjangan dalam menjalani kehidupan seharian. Semoga kita kita juga dipermudahkan dalam menjalani urusan seharian.
Saya ingin berkongsi sedikit cerita di hujung minggu yang baru saja berlalu.
Keluarga saya menerima kedatangan saudara dari kampung dengan gembira. Mereka berhajat untuk berada di rumah saya selama 2 hari kerana menghadiri majlis konvokesyen. 2 orang sekaligus pulak tu. Kedua-duanya adalah sepupu saya. Hari terima skrol mereka cuma berselang sehari, dan universiti pula di sekitar KL ni aje.
Jadi, ma & abah merancang-rancang untuk mengadakan sedikit majlis makan-makan. Alang-alang saudara yang jauh dari kampung datang, apa salahnya menjemput audara-mara lain yang tinggal di sekitar KL ni datang ke rumah kami.
Ini pun boleh diakatakan majlis house-warming setelah kami pindah ke rumah sekarang sejak april 08 yang lalu. Sekali dengan kesyukuran jugak la, setelah abah sembuh dari sakitnya.
Alhamdulillah, majlis yang dirancang berjalan dengan lancar sekali. Sudah tentulah tuan rumah yang amat sibuk kerana menyiapkan juadah untuk dihidang kepada tetamu, bahkan tak kering tangan melayan tetamu yang tidak putus-putus, dari tengahari sampai ke malam.
Nak tau apa juadah yang kami hidangkan. Nyum! Nyum! Nasi kerabu, laksa kuah lemak dan laksam. Serta juadah sampingan lain seperti agar-agar laici (aku buat sendiri), kek dan buah-buahan. Semua habis licin!
Majlis yang diadakan juga telah berjaya merapatkan ikatan ukhuwwah persaudaraan antara kami semua. Aku berdoa semoga pertemuan kami diberkati Allah, dan semoga ikatan ini akan berterusan erat sampai bila-bila.

Friday, August 8, 2008

Rasulullah SAW Perbanyak Puasa Sunat Sepanjang Syaaban

Usamah bin Zaid berkata: Aku bertanya Rasulullah SAW mengenai Syaaban kerana aku tidak pernah lihat Baginda banyak berpuasa sunat seperti Baginda berpuasa dalam Syaaban.

Baginda SAW menjawab: “Bulan yang banyak manusia lalai padanya ialah antara Rejab dan Ramadan. Pada bulan Syaaban akan diangkatkan segala catatan amalan hamba kepada Allah. Dengan itu, aku amat suka supaya diangkatkan segala amalanku ketika aku sedang berpuasa.” (Hadis riwayat Ahmad dan Nasa’i)

Segala amal ibadat setiap Muslim sebenarnya diangkat oleh malaikat pada tiap-tiap hari, manakala amal ibadat bulan Syaaban bolehlah dikatakan sebagai laporan tahunan disediakan malaikat untuk dibawa ke hadrat Allah SWT.

Setiap Muslim sewajibnya menginsafi bahawa segala gerak geri, tindakan, perkataan, lintasan niat di hati akan dicatatkan malaikat tidak kira sama ada besar atau kecil.

Menginsafi pengawasan malaikat Atid dan Raqib, di samping pengawasan secara langsung daripada Allah, manusia akan sedar dan insaf serta menghentikan amalan keburukan.

Petikan tulisan Dr Engku Ahmad Zaki Engku Alwi
Berita Harian

Thursday, August 7, 2008

Menutup Aurat

Baginda SAW dalam sabda: “Bahawasanya aku diutuskan Allah untuk menyempurnakan keluhuran akhlak (budi pekerti).” (Hadis riwayat Ahmad)

Islam memberi garis panduan jelas kepada manusia bagaimana seharusnya seseorang itu menjaga maruah dirinya. Dalam hal berpakaian tetapi ternyata umat Islam terutama remaja atau muda-mudi meremehkan panduan diberikan.

Oleh itu, kita dapat lihat mereka mengenakan pakaian mengikut fesyen terkini tidak memenuhi ciri dikehendaki Islam. Pakaian mereka mendedahkan aurat, ketat dan jarang menampakkan susuk tubuh.

Seharusnya kita insaf hikmah Allah memerintahkan hamba-Nya supaya berpakaian mengikut syariat. Pakaian bukan saja melindungi tubuh badan daripada perubahan cuaca serta kekotoran, pakaian membuatkan manusia kelihatan kemas dan cantik.

Memakai pakaian yang indah bukan bertujuan bergaya, bermegah dan menyombong diri, sebaliknya ialah supaya nampak bersih, sopan dan menutup aurat. Ini menjadikan seseorang itu ada harga diri dan terpelihara maruahnya.

Perintah menutup aurat dapat diperhatikan dalam firman Allah yang bermaksud: “Wahai Nabi, suruhlah isterimu dan anak perempuanmu serta perempuan yang beriman, supaya melabuhkan pakaiannya bagi menutup seluruh tubuhnya (semasa keluar)....” (Surah al-Ajzan, ayat 59)

Mereka yang selalu menjaga maruah diri menampilkan ciri sangat mengagumkan seperti taat perintah Allah, berakhlak mulia dan terpuji, tawaduk, pemaaf, baik dalam pergaulan serta lunak tutur kata.

Lantaran itu, apabila seseorang gemar menjaga maruah diri bermakna mereka memiliki sifat insan dikasihi Allah seperti sabda Rasulullah SAW: “Sikap yang baik, menjaga diri dan hidup berhemat adalah satu bahagian daripada dua puluh empat bahagian daripada kenabian.” (Hadis riwayat Tarmizi)

Petikan artikel Berita Harian

Wednesday, August 6, 2008

Banyak Makan Ikan Dapat Elak Nyanyuk, Angin Ahmar

NEW YORK: Sekumpulan penyelidik Finland mendapati warga tua yang kerap memakan ikan mempunyai risiko lebih rendah mengalami masalah kerosakan otak yang menjadi punca serangan angin ahmar serta nyanyuk.

Manfaat ikan itu terkandung dalam semua jenis masakan ikan, kecuali yang digoreng. Dalam kajian membabitkan 3,660 dewasa berusia 65 tahun ke atas, penyelidik Finland mendapati, mereka yang banyak makan ikan terbukti kurang mengalami kerosakan pada otak yang berlaku secara senyap.

Kerosakan itu membabitkan kawasan kecil otak yang mati akibat kekurangan bekalan darah, seperti yang kelihatan menerusi hasil imbasan mesin MRI.

“Masalah itu disifatkan sebagai kerosakan secara senyap kerana ia tidak mempunyai sebarang simptom atau gejala ketara dan hanya boleh dikesan menerusi imbasan otak. Ia juga boleh meningkatkan risiko individu mengalami serangan angin ahmar atau berdepan masalah nyanyuk.

“Manfaat ikan itu dipercayai terkandung dalam asid lemak Omega-3 yang hanya ada dalam ikan,” kata penyelidik Universiti Kuopia di Finland, Dr Jyrki K Virtanen dalam edisi terbaru Neurology.

Katanya, selepas diselidiki sejarah pemakanan responden, didapati warga tua itu mengamalkan pemakanan ikan seperti tuna yang sama ada hanya dibakar atau direbus. Hidangan ikan itu pula dimakan sekurang-kurangnya tiga kali seminggu dan jumlah itu cuma satu pertiga kurang daripada mereka yang jarang makan ikan dan terbukti mengalami masalah kerosakan otak.

Penggemar ikan juga didapati kurang menghidap masalah itu biarpun dalam tempoh lima tahun kemudian. Penyelidik itu bagaimanapun menegaskan, mereka tidak menemui sebarang manfaat hasil memakan ikan digoreng dan makanan seperti burger ikan dan ketulan ikan yang digoreng. - Reuters

Tuesday, August 5, 2008

Syaaban Persiapan Menempuh Ramadhan

Ketibaan bulan Syaaban seharusnya disambut dengan azam dan komitmen untuk meningkatkan keimanan kepada Allah dengan memperbanyakkan amalan dan kebajikan. Sebabnya hidup seorang muslim hendaklah sentiasa berubah kepada keadaan yang lebih baik daripada sebelumnya.

Sebagai Muslim sewajarnya kita mengetahui apakah kelebihan bulan Syaaban agar ketibaannya dapat dihayati dengan sebaiknya.

Keistimewaan ini juga menunjukkan kepada kita bagaimana Islam sangat mementingkan soal masa. Di mana ada saat-saat tertentu yang mempunyai fadilat yang khusus dan jika tidak diambil kesempatan untuk memanfaatkannya akan berlalu begitu sahaja serta tiada peluang lagi untuk dikembalikan.

Menyentuh tentang kelebihan bulan Syaaban terdapat beberapa hadis sahih yang menjelaskan tentangnya.

Antaranya: Aisyah r.a. meriwayatkan bahawa Rasulullah SAW berpuasa hingga kami menganggap ia tidak berbuka, dan ia berbuka sehingga kami menganggap ia tidak berpuasa dan aku tidak pernah melihat baginda menyempurnakan puasa sebulan melainkan pada bulan Ramadan dan aku juga tidak pernah melihat baginda memperbanyakkan puasa melainkan pada bulan Syaaban. (riwayat Bukhari dan Muslim).

Aisyah r.a. juga berkata: Sesungguhnya ia (Nabi Muhammad) berpuasa pada bulan Syaaban keseluruhannya dan baginda bersabda: Laksanakanlah amalan sedaya yang kamu mampu, sesungguhnya Allah SWT tidak jemu sehinggalah kamu jemu. Dan sebaik-baik solat (sunat) pada sisi Rasulullah SAW ialah yang berterusan meskipun sedikit, kerana baginda apabila solat (sunat) baginda akan sentiasa terus melakukannya. (riwayat Bukhari dan Muslim).

Abu Musa al-Asyaari pula menceritakan bahawa Rasulullah bersabda: Sesungguhnya Allah melihat (amalan hamba-hamba-Nya) pada malam Nisfu Syaaban lalu diampunkan dosa semua makhluk-Nya (hamba-Nya) kecuali syirik dan orang yang memutuskan silaturahim (tidak bertegur dengan saudaranya). (riwayat Ibnu Majah)

Bulan Syaaban juga elok dijadikan saat untuk bertaubat dan memohon keampunan Allah dan berdoa agar dikurniakan sifat istiqamah serta kesihatan supaya dapat menghayati sepenuhnya bulan Ramadan yang bakal tiba.

Petikan tulisan Zuridan Mohd Daud
Utusan Malaysia, 4 Ogos 2008

Saturday, July 26, 2008

Kebersihan diri rohani & jasmani

Menurut Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO), yang dimaksudkan dengan sihat adalah suatu keadaan jasmaniah dan rohaniah serta sosial yang tidak mengalami gangguan penyakit atau cacat.

Amalan menjaga kesihatan dan kekuatan jasmani juga dituntut Islam. Mereka yang memiliki tubuh badan atau jasmani sihat akan dapat melaksanakan tugas dan kewajipan harian dengan baik. Begitu juga rohani dan jiwa sihat mampu menghadapi pelbagai ujian iman.

Badan sihat dan iman mantap akan membina akhlak mulia. Disebutkan dalam al-Quran, Allah menyukai orang yang menjaga kebersihan diri dan persekitaran di mana dia berada. Allah berfirman bermaksud: "Dan Allah mengasihi orang yang bersih." (Surah at-Taubah, ayat 108)

Konsep membersihkan diri meliputi zahir dan batin. Bersih diri secara zahir adalah membersihkan diri daripada perbuatan syirik, khurafat dan tahyul, manakala kebersihan dari segi batin pula ialah menjaga hati dari sifat dengki, riak, sombong serta takbur.

Firman Allah bermaksud: "Sesungguhnya Allah mengasihi orang yang bertaubat dan mengasihi orang yang bersuci." (Surah al-Baqarah, ayat 222)

Sabda Rasulullah SAW bermaksud: "Jagalah kebersihan dengan segala cara yang dapat kamu lakukan kerana Allah mendirikan Islam di atas kebersihan dan tidaklah masuk syurga kecuali orang menjaga kebersihan." (Hadis riwayat Tabrani)

Islam mengajak umatnya sentiasa menjaga kesihatan tubuh badan serta memeliharanya dengan memakan makanan dan minuman bersih, berzat dan halal. Setiap makanan dan minuman bersih, suci, berzat lagi halal dapat menguatkan ketahanan tubuh badan serta minda hingga dapat melaksanakan ibadah dengan sempurna.

Allah berfirman bermaksud: "Dan makan dan minumlah kamu, jangan berlebih-lebihan, kerana sesungguhnya Dia (Allah) tidak suka kepada orang yang berlebih-lebihan." (Surah al-A'raf, ayat 31)

Petikan tulisan Hanafi Mohamed
Berita Harian, 26 Julai 2008

Friday, July 25, 2008

Jauhi Amalan Baca Ramalan Bintang

SOLAT mereka yang membaca ramalan bintang sama ada di akhbar, majalah atau di internet tidak akan diterima Allah selama 40 hari, tidak kira mereka percaya atau sebaliknya kerana perbuatan itu sama seperti berjumpa dengan tukang ramal.

Pensyarah fakulti Syariah dan Undang-undang Universiti Sains Islam Malaysia (USIM), Nik Salida Suhaila Nik Saleh, menjelaskan perkara itu berdasarkan ulasan ulama terkenal Yusuf al-Qardawi mengenai hukum membaca ramalan bintang.

Katanya, walau seseorang itu tidak membenarkan apa yang dibaca, solatnya tetap tidak diterima selama 40 hari dan jika membaca serta membenarkan pula ramalan itu, maka orang itu dikatakan kufur kepada ajaran Muhammad.

Bagaimanapun katanya, jika membaca dengan tujuan untuk membantah, menjelaskan dan mengingkari amalan syirik, hukumnya dituntut malah menjadi wajib kerana tujuan memberi pengajaran kepada orang lain.

“Jelas amalan meramal, membaca dan menaruh sikit rasa yakin apa dikatakan ramalan bintang itu perlu dijauhi mulai hari ini. Ini bukan perkara main-main atau seronok-seronok kerana ia bercanggah dengan hukum Islam,” katanya.

Katanya, perkara itu juga jelas daripada hadis riwayat Muslim bahawa Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: “Sesiapa yang datang kepada dukun kemudian dia membenarkan terhadap apa yang dikatakan olehnya, maka solat orang itu tidak diterima Allah selama 40 hari.”

Petikan tulisan Hasliza Hassan
Berita Harian, 25 Julai 2008