Menurut Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO), yang dimaksudkan dengan sihat adalah suatu keadaan jasmaniah dan rohaniah serta sosial yang tidak mengalami gangguan penyakit atau cacat.
Amalan menjaga kesihatan dan kekuatan jasmani juga dituntut Islam. Mereka yang memiliki tubuh badan atau jasmani sihat akan dapat melaksanakan tugas dan kewajipan harian dengan baik. Begitu juga rohani dan jiwa sihat mampu menghadapi pelbagai ujian iman.
Badan sihat dan iman mantap akan membina akhlak mulia. Disebutkan dalam al-Quran, Allah menyukai orang yang menjaga kebersihan diri dan persekitaran di mana dia berada. Allah berfirman bermaksud: "Dan Allah mengasihi orang yang bersih." (Surah at-Taubah, ayat 108)
Konsep membersihkan diri meliputi zahir dan batin. Bersih diri secara zahir adalah membersihkan diri daripada perbuatan syirik, khurafat dan tahyul, manakala kebersihan dari segi batin pula ialah menjaga hati dari sifat dengki, riak, sombong serta takbur.
Firman Allah bermaksud: "Sesungguhnya Allah mengasihi orang yang bertaubat dan mengasihi orang yang bersuci." (Surah al-Baqarah, ayat 222)
Sabda Rasulullah SAW bermaksud: "Jagalah kebersihan dengan segala cara yang dapat kamu lakukan kerana Allah mendirikan Islam di atas kebersihan dan tidaklah masuk syurga kecuali orang menjaga kebersihan." (Hadis riwayat Tabrani)
Islam mengajak umatnya sentiasa menjaga kesihatan tubuh badan serta memeliharanya dengan memakan makanan dan minuman bersih, berzat dan halal. Setiap makanan dan minuman bersih, suci, berzat lagi halal dapat menguatkan ketahanan tubuh badan serta minda hingga dapat melaksanakan ibadah dengan sempurna.
Allah berfirman bermaksud: "Dan makan dan minumlah kamu, jangan berlebih-lebihan, kerana sesungguhnya Dia (Allah) tidak suka kepada orang yang berlebih-lebihan." (Surah al-A'raf, ayat 31)
Petikan tulisan Hanafi Mohamed
Berita Harian, 26 Julai 2008
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment