Tuesday, July 8, 2008

Hati

Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: "Di dalam diri manusia ada seketul daging, apabila daging itu baik, maka baiklah seluruh anggota lahir manusia. Jika seketul daging itu rosak maka seluruh anggota lahir manusia itu akan rosak, itulah dia hati."

Allah menilai orang yang beriman dan beramal soleh melalui hati baik yang memiliki sifat mahmudah untuk dimasukkan ke dalam syurga-Nya. Firman Allah yang bermaksud: "Sesungguhnya Allah memasukkan orang beriman dan beramal soleh ke dalam syurga di bawahnya sungai, sesungguhnya Allah berbuat apa yang Dia kehendaki." (Surah al-Haj, ayat 14).

Jelaslah orang beriman dan beramal soleh mempunyai sifat terpuji seperti berkasih sayang sesama Muslim, bersikap lemah lembut, pemaaf, tenang, berbakti terhadap ibu bapa, sabar apabila susah, syukur apabila senang, mengawal diri ketika marah, bertimbang rasa serta berakhlak baik.

Segala sifat terpuji berpunca dari hati. Oleh itu, sifat terpuji mesti dimiliki dulu yang boleh mendorong kita melakukan amal soleh dalam kehidupan di dunia. Semuanya akan dinilai oleh Allah dan diberi nikmat syurga.


Sementara itu, hati yang diterima Allah, adalah apabila bersih dari yang selain Allah. Manakala, hati yang akan terhalang dari Allah adalah apabila ia sibuk dan tenggelam dengan selain Allah. Hatilah yang bakal dituntut, serta diajak berbicara, dan dicela, jika ingkar kepada-Nya.

Allah berfirman yang bermaksud: "Hai jiwa yang tenang, kembalilah kepada Tuhanmu dengan hati yang puas lagi diredai-Nya. Maka masuklah ke dalam jama'ah hamba-Ku, dan masuklah ke dalam syurga-Ku." (Surah al-Fajr, ayat 30) Hati yang taat kepada Allah, Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: "Hati itu ada empat macam iaitu; hati yang bersih di dalamnya ada pelita bersinar, itulah hati orang mukmin. Hati yang hitam seluruh permukaannya, itulah hari orang kafir. Hati tertutup yang terlihat tutupnya, itulah hati orang munafik. Hati yang memiliki dua sisi, yang satu iman dan yang lain nifaq." (Hadis Ahmad dan Thabrani).

petikan tulisan Aminudin Mansor
Berita Harian, 8 Julai 2008

No comments: