Mengetahui adab bertamu yang diajarkan Rasulullah SAW akan membuatkan kedatangan tetamu tidak mengganggu hak tuan rumah sebaliknya menjadi kesenangan kepada mereka untuk memberi layanan sebaiknya.
Adab bertamu yang perlu diberi perhatian sebaik tiba di rumah yang dikunjungi hendaklah memberi salam dan paling banyak ialah tiga kali untuk memberitahu tuan rumah akan kedatangan kita. Rasulullah SAW bersabda bermaksud: “Minta izin masuk rumah itu tiga kali, jika diizinkan untuk kamu (masuklah) dan jika tidak maka pulanglah!” (Hadis riwayat Bukhari dan Muslim).
Apabila sudah memberi salam, tetapi tidak ada jawapan, dinasihatkan menangguh kunjungan itu. Ada sesetengah kita kerana sudah terbiasa dengan jiran atau saudara-mara, adab bertamu tidak diberi perhatian, malah menganggap rumah mereka seperti rumah sendiri.
Daripada Kildah ibn al-Hambal, “Aku mendatangi Rasulullah SAW lalu aku masuk ke rumahnya tanpa mengucap salam. Maka Rasulullah bersabda: Keluar dan ulangi lagi dengan mengucapkan ‘Assalamualaikum’, boleh aku masuk?” (Hadis riwayat Abu Daud dan Tirmidz)
Begitu juga jika salam sudah diberi dan dijawab oleh tuan rumah, masih tidak boleh terus menyerbu ke dalam rumah selagi tidak mendapat keizinan atau tidak dijemput bagi menjaga maruah tuan rumah kerana takut masih belum bersedia berjumpa tetamu.
Sahal ibn Sa’ad berkata, Nabi SAW bersabda bermaksud: “Sesungguhnya disyariatkan minta izin adalah kerana untuk menjaga pandangan.” (Hadis riwayat Bukhari dan Muslim)
Allah berfirman bermaksud: “Jika kamu tidak menemui seorangpun di dalamnya, maka janganlah kamu masuk sebelum kamu mendapat izin. Dan jika dikatakan kepadamu: kembali (sajalah), maka hendaklah kamu kembali. Itu bersih bagimu dan Allah Maha Mengetahui apa yang kamu kerjakan.” (Surah an-Nuur, ayat 28)
petikan tulisan Hashim Ahmad
Berita Harian, 9 Julai 2008
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment