APABILA berbicara soal hati, Rasulullah SAW memaklumkan bahawa dalam diri manusia ada segumpal daging, yang jika baik daging itu maka baik pula manusia itu. Sebaliknya jika daging itu buruk dan busuk, maka kualiti orang itu sudah tentulah tersangat rendah dan itulah hati.
Rasulullah SAW juga mengajarkan kepada kita bahawa setiap amalan bergantung kepada niatnya. Jika niatnya buruk, maka buruk pula amalannya. Dan jika niatnya baik, maka baik pula amalannya. Walaupun niatnya buruk dan amalannya nampak baik, hasilnya tetap tidak dipandang Allah.
Contohnya, kita bersedekah kepada seorang miskin. Kelihatannya itu adalah perbuatan mulia, tetapi jika niat kita untuk menyombongkan diri kepada orang lain bukan kerana belas kasihan kepada si miskin, maka perbuatan itu sebenarnya tidak mulia lagi. Kedua-dua perkara ini sebetulnya mengajarkan hal yang sama, bahawa kualiti keagamaan kita sebagai Muslim boleh dilihat daripada hati yang dimiliki setiap individu.
Hati adalah 'cermin' kepada segala perbuatan kita. Setiap kita melakukan perbuatan, maka hati kita akan mencerminkan niat yang sebenarnya dari perbuatan itu. Jadi, hati lebih menggambarkan perbuatan kita sedangkan amalan, lebih sulit untuk dinilai kualitinya.
Oleh sebab itu, Islam lebih condong menggarap hati daripada perbuatan. Jika hatinya sudah baik, maka perbuatannya pasti baik. Sebaliknya perbuatannya kelihatan baik, belum tentu hatinya baik.
Seluruh amal ibadat yang diajarkan Rasulullah SAW sebenarnya dimaksudkan untuk menggarap hati kita agar menjadi baik. Seperti puasa, tujuannya untuk mendapatkan kemampuan mengendalikan diri atau disebut takwa dalam terminologi Islam.
Petikan tulisan Nik Salida Suhaila Nik Saleh
Berita Harian, 24 Julai 2008
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment