Saturday, July 26, 2008

Kebersihan diri rohani & jasmani

Menurut Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO), yang dimaksudkan dengan sihat adalah suatu keadaan jasmaniah dan rohaniah serta sosial yang tidak mengalami gangguan penyakit atau cacat.

Amalan menjaga kesihatan dan kekuatan jasmani juga dituntut Islam. Mereka yang memiliki tubuh badan atau jasmani sihat akan dapat melaksanakan tugas dan kewajipan harian dengan baik. Begitu juga rohani dan jiwa sihat mampu menghadapi pelbagai ujian iman.

Badan sihat dan iman mantap akan membina akhlak mulia. Disebutkan dalam al-Quran, Allah menyukai orang yang menjaga kebersihan diri dan persekitaran di mana dia berada. Allah berfirman bermaksud: "Dan Allah mengasihi orang yang bersih." (Surah at-Taubah, ayat 108)

Konsep membersihkan diri meliputi zahir dan batin. Bersih diri secara zahir adalah membersihkan diri daripada perbuatan syirik, khurafat dan tahyul, manakala kebersihan dari segi batin pula ialah menjaga hati dari sifat dengki, riak, sombong serta takbur.

Firman Allah bermaksud: "Sesungguhnya Allah mengasihi orang yang bertaubat dan mengasihi orang yang bersuci." (Surah al-Baqarah, ayat 222)

Sabda Rasulullah SAW bermaksud: "Jagalah kebersihan dengan segala cara yang dapat kamu lakukan kerana Allah mendirikan Islam di atas kebersihan dan tidaklah masuk syurga kecuali orang menjaga kebersihan." (Hadis riwayat Tabrani)

Islam mengajak umatnya sentiasa menjaga kesihatan tubuh badan serta memeliharanya dengan memakan makanan dan minuman bersih, berzat dan halal. Setiap makanan dan minuman bersih, suci, berzat lagi halal dapat menguatkan ketahanan tubuh badan serta minda hingga dapat melaksanakan ibadah dengan sempurna.

Allah berfirman bermaksud: "Dan makan dan minumlah kamu, jangan berlebih-lebihan, kerana sesungguhnya Dia (Allah) tidak suka kepada orang yang berlebih-lebihan." (Surah al-A'raf, ayat 31)

Petikan tulisan Hanafi Mohamed
Berita Harian, 26 Julai 2008

Friday, July 25, 2008

Jauhi Amalan Baca Ramalan Bintang

SOLAT mereka yang membaca ramalan bintang sama ada di akhbar, majalah atau di internet tidak akan diterima Allah selama 40 hari, tidak kira mereka percaya atau sebaliknya kerana perbuatan itu sama seperti berjumpa dengan tukang ramal.

Pensyarah fakulti Syariah dan Undang-undang Universiti Sains Islam Malaysia (USIM), Nik Salida Suhaila Nik Saleh, menjelaskan perkara itu berdasarkan ulasan ulama terkenal Yusuf al-Qardawi mengenai hukum membaca ramalan bintang.

Katanya, walau seseorang itu tidak membenarkan apa yang dibaca, solatnya tetap tidak diterima selama 40 hari dan jika membaca serta membenarkan pula ramalan itu, maka orang itu dikatakan kufur kepada ajaran Muhammad.

Bagaimanapun katanya, jika membaca dengan tujuan untuk membantah, menjelaskan dan mengingkari amalan syirik, hukumnya dituntut malah menjadi wajib kerana tujuan memberi pengajaran kepada orang lain.

“Jelas amalan meramal, membaca dan menaruh sikit rasa yakin apa dikatakan ramalan bintang itu perlu dijauhi mulai hari ini. Ini bukan perkara main-main atau seronok-seronok kerana ia bercanggah dengan hukum Islam,” katanya.

Katanya, perkara itu juga jelas daripada hadis riwayat Muslim bahawa Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: “Sesiapa yang datang kepada dukun kemudian dia membenarkan terhadap apa yang dikatakan olehnya, maka solat orang itu tidak diterima Allah selama 40 hari.”

Petikan tulisan Hasliza Hassan
Berita Harian, 25 Julai 2008

Thursday, July 24, 2008

Kemurniaan Hati

APABILA berbicara soal hati, Rasulullah SAW memaklumkan bahawa dalam diri manusia ada segumpal daging, yang jika baik daging itu maka baik pula manusia itu. Sebaliknya jika daging itu buruk dan busuk, maka kualiti orang itu sudah tentulah tersangat rendah dan itulah hati.

Rasulullah SAW juga mengajarkan kepada kita bahawa setiap amalan bergantung kepada niatnya. Jika niatnya buruk, maka buruk pula amalannya. Dan jika niatnya baik, maka baik pula amalannya. Walaupun niatnya buruk dan amalannya nampak baik, hasilnya tetap tidak dipandang Allah.

Contohnya, kita bersedekah kepada seorang miskin. Kelihatannya itu adalah perbuatan mulia, tetapi jika niat kita untuk menyombongkan diri kepada orang lain bukan kerana belas kasihan kepada si miskin, maka perbuatan itu sebenarnya tidak mulia lagi. Kedua-dua perkara ini sebetulnya mengajarkan hal yang sama, bahawa kualiti keagamaan kita sebagai Muslim boleh dilihat daripada hati yang dimiliki setiap individu.

Hati adalah 'cermin' kepada segala perbuatan kita. Setiap kita melakukan perbuatan, maka hati kita akan mencerminkan niat yang sebenarnya dari perbuatan itu. Jadi, hati lebih menggambarkan perbuatan kita sedangkan amalan, lebih sulit untuk dinilai kualitinya.

Oleh sebab itu, Islam lebih condong menggarap hati daripada perbuatan. Jika hatinya sudah baik, maka perbuatannya pasti baik. Sebaliknya perbuatannya kelihatan baik, belum tentu hatinya baik.

Seluruh amal ibadat yang diajarkan Rasulullah SAW sebenarnya dimaksudkan untuk menggarap hati kita agar menjadi baik. Seperti puasa, tujuannya untuk mendapatkan kemampuan mengendalikan diri atau disebut takwa dalam terminologi Islam.

Petikan tulisan Nik Salida Suhaila Nik Saleh
Berita Harian, 24 Julai 2008

Tuesday, July 22, 2008

Ketika Ajal Datang Menjemput

SESIAPA yang tahu bilakah ajalnya datang tentu akan mengalami tekanan akal dan perasaan. Tetapi Allah menjadikan manusia bersifat lupa dan lalai terhadap kematian. Bayangkanlah jika semua manusia tahu hari atau jam berapa dia akan mati, tentu porak-peranda dunia ini.

Kematian adalah misteri yang tidak akan terpecah dengan fahaman rasional semata. Manusia perlukan iman untuk melalui perjalanan menuju kematian dengan reda dan bersedia.

Abdullah bin Mas’ud berkata, Nabi SAW melukis empat segi untuk kami. Di tengahnya Baginda membuat garisan dan dekat garisan itu Baginda melukis beberapa garisan lain. Baginda juga membuat garisan di luar kemudian bersabda yang bermaksud: “Apakah kamu tahu apa ini? Kami menjawab: Allah dan Rasul-Nya lebih tahu.

Baginda bersabda: “Ini adalah insan (garisan yang di tengah), ini adalah ajal dan ia mengepungnya. Ini adalah beberapa hal baru (garisan yang di sekitarnya), ia menggigitnya. Jika luput terhadapnya ajal ini, maka manusia digigit oleh beberapa hal baru ini. Dan yang ini adalah angan-angan (beberapa garisan di luar).” (Hadis riwayat Imam al-Bukhari)

Sesungguhnya manusia sudah terkepung oleh ajalnya, tetapi mereka mengejar angan-angan yang tidak sudah. Betapa kita ditertawakan oleh takdir, ke mana saja kita pergi dan apa saja keinginan, semuanya kembali kepada qada dan qadar-Nya.

Jadi mengapa manusia melupakan kematian? Bukankah akan sampai saat matanya ditutup dan tidak boleh dibuka kembali, nafas dihirup tidak dapat dihembus lagi, saat kaki kanan melangkah dan belum pasti yang kiri akan sampai, saat menyuap rezeki yang belum tentu dapat ditelannya?

Betapa berharganya masa diberikan Tuhan kepada manusia, mungkin seminggu atau sehari lagi ajal akan datang, segala kemungkinan boleh berlaku di mana saja. Di atas jalan raya atau di pasar, di masjid atau dalam kamar, di bumi mana dia dijemput, tiada siapa yang tahu. Jika ditanya bilakah kamu mahu membuat persediaan menghadap Allah, maka mereka menjawab: “Tunggulah hari tua nanti, sekarang aku mahu kumpulkan harta sebanyak-banyaknya supaya senang beribadah di kala tua.”

Untuk mendidik jiwa supaya sentiasa merasai pendeknya usia tentu amatlah susah melainkan dengan latihan yang terancang dengan baik. Latihan mengingati mati boleh dilakukan dengan pembacaan dan kajian yang lebih mendalam mengenainya. I

lmu penting untuk membentuk suatu penghayatan yang sempurna. Ayat al-Quran dan hadis membincangkan hari akhirat, hidup sesudah mati dan pembalasan syurga serta seksa neraka boleh melembutkan hati manusia dan menjaganya dalam lingkungan celik iman.

Rasulullah SAW juga menyuruh umatnya untuk mengamalkan ziarah kubur. Tidaklah pelik jika kita membawa ahli keluarga bersama singgah ke tanah perkuburan bagi mengingati mati, bahkan yang pelik adalah membawa anak ke tempat melalaikan.

Petikan tulisan juanda72@hotmail.com
Berita Harian

Monday, July 21, 2008

Tidur

APABILA membuka mata dari tidur setiap pagi, bacalah doa kesyukuran kerana usia kita dipanjangkan Allah, terselamat daripada kelalaian dan kelemahan tidur.

Tidur adalah kemestian bagi manusia. Memang pelik dan ganjil jika ada manusia berkata mereka tidak pernah tidur sepanjang hidupnya.

Manusia bukannya enjin, ia perlukan rehat. Enjin pun bekerja jika ada minyak atau elektrik, itupun enjin tidak kekal lama jika digerakkan tanpa henti.Walaupun manusia mendapat makanan dan minuman mencukupi, mereka akan penat jika bekerja tanpa rehat.

Justeru, cara terbaik ialah berehat atau tidur untuk me mulihkan tenaga.Selain itu, kita hendaklah insaf pintu taubat masih terbuka. Dan, ketahuilah tidur itu adalah pelajaran bagi yang hidup merasai setengah kematian.

Melalui tidur, Tuhan mengajar kita mengingati kematian.Melalui tidur, Tuhan mengajar kita hikmah mimpi. Dan, adab tidur juga Tuhan tunjukkan kita melalui Nabi. Betapa syumulnya Islam, membimbing hal yang kecil hingga perkara yang besar.Berwuduklah sebelum tidur kerana Allah akan memelihara roh kita di sisi-Nya.

Tetapi, jika tidur tanpa wuduk, Tuhan tidak akan memandang kita dan membiarkan jin dan syaitan mengganggu kita. Itulah kita sering dibuai mimpi kosong yang tidak berfaedah.Tidurlah di atas rusuk kanan dan menghadap kiblat kerana ia satu cara wahyu diturunkan.

Mimpi yang benar adalah mimpi diberkati Tuhan.Tidurlah apabila rasa mengantuk. Dengan tidur, anggota tubuh akan mendapat kerehatan dan tenaga akan pulih kembali. Usahlah tidur berlebih-lebihan kerana perbuatan itu akan mengakibatkan badan menjadi letih dan lesu. Akal fikiran akan menjadi lemah.

Jangan pula tidak tidur berpanjangan kerana dengan berbuat demikian kewarasan fikiran akan hilang. Tidurlah sekadar sebagaimana disyorkan Islam, ditunjukkan oleh Nabi s.a.w iaitu tidur sebelum Zuhur.

Gunakanlah masa pada siang hari untuk menguruskan pentadbiran dunia. Tidurlah sedikit pada waktu malam dan bangun memperhambakan diri dari tengah malam hingga ke pagi. Inilah contoh tidur yang ideal dan amalan manu sia-hamba yang mencari keredaan Tuhannya.

Jauhkan diri kita daripada amalan tidur dua kali pada siang hari kerana amalan itu perbuatan syaitan. Hindarkan diri daripada tidur terlalu lama supaya tidak dikencing syaitan. Janganlah tidur siang menjadi kemestian kerana tabiat ini akan mengeruhkan wajah dan rezeki menjadi mahal.Berusahalah menjaga adab tidur, elakkan menelentang, kaki bersilang atau tertiarap dan mengangkat punggung.

Tutuplah aurat dan tidurlah di tempat yang terselamat daripada fitnah. Berlindunglah kepada Allah, insya-Allah diri kita akan mendapat berkat.Ingatlah masalah tidur sering dianggap remeh dalam hidup ini tetapi pada hakiktnya ia adalah jurang yang dalam yang berupaya mengakibatkan diri kita hidup tak terancang, hilang matlamat dan hilang punca.

Syaitan bersumpah dengan tiga perkara. Selagi makhluk Allah yang bernama manusia melakukannya, selagi itulah pintu kesesatan terbuka luas dan mudah bagi mereka mem perdayakannya.

Tiga perkara itu ialah:
i. keinginan untuk makan
ii. keinginan terhadap perempuan
iii. keinginan untuk tidur

Selama mana ketiga-tiga keinginan ini terus subur dalam diri manusia, selagi itulah tidak ada kegagalan untuk syaitan menyesatkan manusia.

Petikan tulisan Hashim bin Ahmad
Harian Metro

Thursday, July 17, 2008

Budaya Ilmu

RASULULLAH bersabda yang bermaksud: "Para ulama itu adalah pewaris para Nabi." – (Diriwayatkan oleh Imam Ahmad, Abu Daud dan Tarmizi)
Firman Allah yang bermaksud: "Dan ingatlah ketika Tuhanmu berfirman kepada Malaikat, sesungguhnya Aku hendak menjadikan Khalifah di bumi ini."– (Surah al-Baqarah, ayat 30)
Sebagai khalifah, kita bertanggungjawab menguruskan bumi untuk kebaikan manusia, haiwan, alam sekitar dan planet lain yang berkaitan. Justeru, ia memerlukan penguasaan ilmu pengetahuan supaya amanah dapat dilaksanakan dengan berkesan.
Jadikanlah usaha menuntut serta menguasai ilmu sebagai warisan generasi kita. Menuntut ilmu perlu menjadi budaya setiap individu, keluarga, masyarakat dan negara untuk mencapai kecemerlangan di dunia dan akhirat.

Wednesday, July 16, 2008

16 Julai 2008: Kempen Hari Tanpa Belanja di Malaysia

Salam ceria buat semua dan selamat bertemu kembali. Harapnya kita semua sihat walafiat dan dipermudahkan segala urusan seharian. Moga hari ini lebih energetik dan lebih prestasi buat kita.

Hari ini, 16 Julai 2008 merupakan hari yang sedikit istimewa. Ini kerana pihak NGO telah melancarkan kempen hari tanpa belanja di Malaysia. Ini bertujuan menggalakkan rakyat Malaysia memupuk sikap kesederhanaan dalam berbelanja. Jadi, apa salahnya jangan belanja apa-apa untuk tempoh satu hari sahaja.

Kalau diikutkan, ada logik dan tak logiknya kempen ini. Bagi orang yang pergi kerja menaiki pengangkutan awam tu, macam mana pulak? Takkan nak jalan kaki pergi kerja kot. Ish...ish...ish.

Lagi satu, kalau orang yang pergi kerja, hari-hari lalu tol, macam mana pulak? Takkan nak cari jalan alternatif lain kot (maybe jalan dalam hutan je la yang takde tol). Susah jugak ye...

Sama jugak kesnya org yang minyak kereta nak habis, mesti kena isi. Nanti tak bergerak pulak kereta tu. Takkan nak tolak je kot.

Apapun, tu semua cetusan minda yang negatif. Kalau kita berfikiran positif, pasti apa jua perkara boleh dilaksanakan dengan jayanya. Betul tak?

Contoh paling mudah, elakkan beli makanan pada hari ni. Paling senang, puasa la. Tambahan pula, sekarang ni bulan Rejab, banyak pahala dapat jika mengamalkan puasa sunat bulan ni. Mudah-mudahan idup lebih berkat.

Selain itu, elakkan juga membeli-belah di pasar raya/kedai runcit berdekatan rumah tu. Guna aje lah stok makanan kat rumah tu. Masaklah makanan di rumah, kan lebih jimat tu. Kita juga menjadi pengguna yang lebih berhemah dalam berbelanja, kan.

Lagipun, sekarang kan pertengahan bulan. Poket pun dah nak pokai. Minggu depan baru dapat gaji. Bagus jugaklah dapat kurangkan belanja ni atau tak belanja langsung.

Jadi, selamat menjalani hari tanpa belanja!

Tuesday, July 15, 2008

Saintis akui cara tidur Nabi Muhammad baik untuk kesihatan

ORANG dewasa memerlukan masa tidur selama enam hingga lapan jam sehari. Bagi kanak-kanak pula memerlukan masa tidur yang lebih panjang. Lain pula bagi golongan veteran yang mencapai usia emas, pola tidur mereka adalah antara empat hingga lima jam sehari.

Amalan tidur membantu untuk memberi keselesaan. Sebelum tidur pastikan diri dalam keadaan bersih dan disarankan mengambil wuduk supaya diri berasa semangat mahu tidur dan keadaan yang bersih disukai Allah.

Tidurlah di atas rusuk kanan dan menghadap kiblat. Berusahalah menjaga adab tidur, elakkan kaki bersilang atau tertiarap dan mengangkat punggung. Tutuplah aurat dan tidurlah di tempat yang terselamat daripada bahaya serta kekotoran.

“Nabi melihat seorang lelaki tidur sambil meniarap, lantas beliau berkata: Inilah cara berbaring yang dibenci Allah.” (Hadis riwayat Tarmizi)

Sabda Baginda SAW bermaksud: “Apabila kamu mahu tidur ambil wuduk dulu seperti kamu mahu sembahyang, kemudian baringlah di sebelah kanan.” (Hadis riwayat Bukhari dan Muslim)

Jauhkan diri daripada amalan tidur dua kali pada siang hari kerana amalan itu perbuatan syaitan. Ia menyebabkan wajah jadi kusam, keruh, lembap dan mengurangkan rezeki.
Ibn Qaiyim merumuskan bahawa Nabi SAW tidak tidur dalam kekenyangan. Beliau berbaring berlapikkan bantal, mengiring ke sebelah kanan dalam keadaan berzikir kepada Allah, sehingga tidur.


Nabi Muhammad SAW suka tidur mengiring ke sebelah kanan. Baginda SAW tidur berlapikkan bantal yang sesuai dan membenci tidur secara meniarap. Ucapan memuji Allah sering diucap pada bibir.

Saintis juga mengakui kedudukan tidur Nabi Muhammad SAW itu adalah model terbaik. Ia mampu memberi kesan kepada kesihatan badan. Tidur cara Nabi Muhammad SAW mampu merehatkan badan dan menjaga kesihatan tulang leher.

Pakar perubatan mencadangkan dua kedudukan semasa tidur, iaitu mengiring dengan meluruskan tulang belakang atau menelentang di belakang dengan muka dan badan mengadap ke atas dengan menjaga bengkokkan tulang leher.

Anak Rasulullah SAW, Fatimah pernah menemui ayahandanya untuk meminta tawanan perang sebagai pembantu rumah kerana penat melakukan tugasan rumah tangga, tetapi tidak dipenuhi Baginda. Sebaliknya, Baginda SAW mengajarkan mereka cara lebih baik daripada itu, iaitu mengamalkan zikir pada waktu hendak tidur dengan membaca pujian bagi Allah (subhanallah sebanyak 33 kali) diikuti Alhamdulillah dan Allahuakbar.

Itu adalah cara tidur sebaiknya diamalkan sambil berzikir memohon kebaikan serta kesejahteraan daripada Allah. Cara lain ialah membaca surah digalakkan seperti al-Fatihah, ayat Kursi, tiga ‘Kul’ dan doa sebelum tidur bagi mengelak gangguan.

Petikan tulisan Mohd Roslan Md Isa
Berita Harian, 15 Julai 2008

Friday, July 11, 2008

Yaumul Jumu'ah

Jumaat adalah penghulu segala hari, yang mempunyai banyak kelebihan antaranya:

> Pada Jumaat, Allah menjadikan Nabi Adam (manusia pertama).
> Jumaat adalah hari paling mustajab bagi mukmin yang berdoa. Allah akan memakbulkan
doanya, selama ia tidak meminta perkara yang haram.
> Pada Jumaat akan berlakunya kiamat.

> Jumaat adalah besar disisi Allah bahkan lebih besar daripada Aidilfitri dan Aidiladha.

Sabda Rasulullah SAW yang bermaksud: “Sesungguhnya Rasulullah SAW membicarakan mengenai Jumaat dan Baginda berkata: Padanya ada suatu saat yang tidak ditemui oleh hamba (Allah) yang Muslim dengan ia mendirikan solat sambil memohon kepada Allah akan sesuatu, melainkan apa yang dimohonkan akan diberi kepadanya (ia mengisyaratkan dengan tangannya yang diangkat).” - (Hadis riwayat Bukhari dan Muslim)

Ada hadis sahih mengatakan saat mustajab itu bermula dari khatib berada di atas mimbar sehingga selesai solat Jumaat. Daripada Abu Al-Asya’ari, ia berkata: “Aku mendengar Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: Sesungguhnya saat mustajab itu adalah antara imam duduk di atas mimbar, sampai ia salam daripada solat.” - (Hadis riwayat Muslim)

Firman Allah yang bermaksud: “Wahai orang beriman, apabila kamu diseru untuk mengerjakan fardu Jumaat, maka hendaklah kamu segera mengingati Allah dan tinggalkan urusan jual beli.” - (Surah al-Jum’ah, ayat 9)

petikan tulisan Masmawi Abdullah
Berita Harian, 11 Julai 2008

Wednesday, July 9, 2008

Adab Bertamu

Mengetahui adab bertamu yang diajarkan Rasulullah SAW akan membuatkan kedatangan tetamu tidak mengganggu hak tuan rumah sebaliknya menjadi kesenangan kepada mereka untuk memberi layanan sebaiknya.

Adab bertamu yang perlu diberi perhatian sebaik tiba di rumah yang dikunjungi hendaklah memberi salam dan paling banyak ialah tiga kali untuk memberitahu tuan rumah akan kedatangan kita. Rasulullah SAW bersabda bermaksud: “Minta izin masuk rumah itu tiga kali, jika diizinkan untuk kamu (masuklah) dan jika tidak maka pulanglah!” (Hadis riwayat Bukhari dan Muslim).

Apabila sudah memberi salam, tetapi tidak ada jawapan, dinasihatkan menangguh kunjungan itu. Ada sesetengah kita kerana sudah terbiasa dengan jiran atau saudara-mara, adab bertamu tidak diberi perhatian, malah menganggap rumah mereka seperti rumah sendiri.

Daripada Kildah ibn al-Hambal, “Aku mendatangi Rasulullah SAW lalu aku masuk ke rumahnya tanpa mengucap salam. Maka Rasulullah bersabda: Keluar dan ulangi lagi dengan mengucapkan ‘Assalamualaikum’, boleh aku masuk?” (Hadis riwayat Abu Daud dan Tirmidz)

Begitu juga jika salam sudah diberi dan dijawab oleh tuan rumah, masih tidak boleh terus menyerbu ke dalam rumah selagi tidak mendapat keizinan atau tidak dijemput bagi menjaga maruah tuan rumah kerana takut masih belum bersedia berjumpa tetamu.

Sahal ibn Sa’ad berkata, Nabi SAW bersabda bermaksud: “Sesungguhnya disyariatkan minta izin adalah kerana untuk menjaga pandangan.” (Hadis riwayat Bukhari dan Muslim)

Allah berfirman bermaksud: “Jika kamu tidak menemui seorangpun di dalamnya, maka janganlah kamu masuk sebelum kamu mendapat izin. Dan jika dikatakan kepadamu: kembali (sajalah), maka hendaklah kamu kembali. Itu bersih bagimu dan Allah Maha Mengetahui apa yang kamu kerjakan.” (Surah an-Nuur, ayat 28)

petikan tulisan Hashim Ahmad
Berita Harian, 9 Julai 2008

Tuesday, July 8, 2008

Hati

Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: "Di dalam diri manusia ada seketul daging, apabila daging itu baik, maka baiklah seluruh anggota lahir manusia. Jika seketul daging itu rosak maka seluruh anggota lahir manusia itu akan rosak, itulah dia hati."

Allah menilai orang yang beriman dan beramal soleh melalui hati baik yang memiliki sifat mahmudah untuk dimasukkan ke dalam syurga-Nya. Firman Allah yang bermaksud: "Sesungguhnya Allah memasukkan orang beriman dan beramal soleh ke dalam syurga di bawahnya sungai, sesungguhnya Allah berbuat apa yang Dia kehendaki." (Surah al-Haj, ayat 14).

Jelaslah orang beriman dan beramal soleh mempunyai sifat terpuji seperti berkasih sayang sesama Muslim, bersikap lemah lembut, pemaaf, tenang, berbakti terhadap ibu bapa, sabar apabila susah, syukur apabila senang, mengawal diri ketika marah, bertimbang rasa serta berakhlak baik.

Segala sifat terpuji berpunca dari hati. Oleh itu, sifat terpuji mesti dimiliki dulu yang boleh mendorong kita melakukan amal soleh dalam kehidupan di dunia. Semuanya akan dinilai oleh Allah dan diberi nikmat syurga.


Sementara itu, hati yang diterima Allah, adalah apabila bersih dari yang selain Allah. Manakala, hati yang akan terhalang dari Allah adalah apabila ia sibuk dan tenggelam dengan selain Allah. Hatilah yang bakal dituntut, serta diajak berbicara, dan dicela, jika ingkar kepada-Nya.

Allah berfirman yang bermaksud: "Hai jiwa yang tenang, kembalilah kepada Tuhanmu dengan hati yang puas lagi diredai-Nya. Maka masuklah ke dalam jama'ah hamba-Ku, dan masuklah ke dalam syurga-Ku." (Surah al-Fajr, ayat 30) Hati yang taat kepada Allah, Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: "Hati itu ada empat macam iaitu; hati yang bersih di dalamnya ada pelita bersinar, itulah hati orang mukmin. Hati yang hitam seluruh permukaannya, itulah hari orang kafir. Hati tertutup yang terlihat tutupnya, itulah hati orang munafik. Hati yang memiliki dua sisi, yang satu iman dan yang lain nifaq." (Hadis Ahmad dan Thabrani).

petikan tulisan Aminudin Mansor
Berita Harian, 8 Julai 2008

Monday, July 7, 2008

Permulaan Semester Baru!

Salam ceria dan selamat bertemu kembali. Mudah-mudahan kita diberikan kesihatan yang baik dan dipermudahkan segala urusan seharian.

Mmmm, nampaknya sudah seminggu saya tidak menulis. Ini disebabkan saya telah menghadiri kursus pada minggu lepas dan tidak berkesempatan untuk menulis. Rindu rasanya untuk mencoretkan sesuatu sebagai berkongsi rasa dan buah fikiran di blog ini.

Hari ini, 7 Julai 2008 merupakan hari pertama bagi semester baru untuk semua pelajar universiti tempatan.

Justru, kepada semua penuntut IPTA, termasuk adik saya, selamat menempuh semester baru. Selamat belajar dan semoga lebih success lagi. Teruskan usaha dalam meneroka ilmu pengetahuan dan mengasah kemahiran anda.

Usaha, doa dan tawakal perlu seiring.

Selamat maju jaya!