Monday, June 30, 2008

Sepanyol Juara EURO 2008


Tahniah Sepanyol!


Sepanyol telah menewaskan Jerman 1-0 dalam perlawanan akhir yang berlangsung begitu sengit. Hero pasukan Sepanyol, Fernando Tores telah berjaya menyumbat gol kemenangan seawal minit ke-33.


Percubaan demi percubaan yang dilakukan oleh Jerman nampaknya gagal dan dapat dipatahkan oleh Sepanyol. Jerman nampaknya mempamerkan permainan dengan lebih banyak menyerang. Dapat dilihat bahawa pintu gol Sepanyol lebih banyak banyak diasak oleh Jerman untuk cuba membolosi gawang.


Sepanyol pula dilihat lebih banyak bertahan pada separuh masa pertama. Namun, aksi kedua-dua pasukan dilihat lebih seimbang pada separuh masa kedua. Nampaknya, Jerman telah kehilangan fokus dan strategi yang diatur kurang menyerlah.


Syabas buat pasukan Sepanyol yang berjaya menamatkan penantian 44 tahun lamanya setelah kali terakhir memenangi Piala EURO.

Friday, June 27, 2008

Ulangtahun Keretaku Yang Pertama

Salam ceria dan selamat bertemu kembali buat semua. Semoga kedatangan hari Jumaat pada hari ini memberikan kita keberkatan dan rahmat-Nya. Mudah-mudahan kita diberikan kesihatan yang baik serta dipermudahkan segala urusan seharian.

Untuk pengetahuan semua, hari ini genap setahun umur keretaku.

Alhamdulillah, setakat ini keretaku dalam keadaan baik dan telah berkhidmat kepadaku dengan penuh dedikasi. Chewah!

Aku berdoa semoga pemanduanku sentiasa selamat dan dijauhkan daripada segala bahaya, insyaAllah.

Dengan kenaikan harga petrol, nampaknya aku kenalah lebih berjimat-cermat dan mempraktikkan teknik pemanduan yang lebih berhemah.

Ok la, semoga anda terus ceria sepanjang hari ini!

Thursday, June 26, 2008

Nilai Dalam Kehidupan Umat Islam

Pentingnya umat Islam menekankan nilai ini dalam kehidupan dijelaskan melalui firman Allah yang bermaksud: “Katakanlah. Sesungguhnya sembahyangku dan ibadatku, hidupku dan matiku hanyalah untuk Allah Tuhan yang memelihara dan mentadbirkan sekalian alam. Tiada sekutu bagi-Nya, dan dengan demikian saja aku diperintahkan, dan aku (di antara seluruh umatku) adalah orang Islam yang awal pertama (yang berserah diri kepada Allah dan mematuhi perintah-Nya).” - (Surah Al-An’am, ayat 162-163)

Perlunya seseorang Muslim menjadikan nilai pengabdian kepada Allah sebagai unsur utama dalam kehidupan mereka kerana Islam ialah agama berteraskan akidah atau keyakinan luhur kepada Allah yang Maha Esa, malaikat, rasul, kitab, hari kiamat dan kepercayaan kepada qada’ dan qadar ditentukan Allah.

Hasil daripada keyakinan ini akan membawa kepada lahirnya kesedaran dan kesanggupan insan untuk menunaikan segala kewajipan sudah ditetapkan oleh Allah, sekali gus menjauhkan segala larangan serta tegahan-Nya.

Petikan tulisan Dr Ahmad Redzuwan Mohd Yunus
Berita Harian, 26 Jun 2008

Wednesday, June 25, 2008

Petunjuk

"Barang siapa yang Allah menghendaki akan memberikan kepadanya petunjuk, nescaya Dia melapangkan dadanya untuk (memeluk agama) Islam. Dan barang siapa yang dikehendaki Allah kesesatannya, nescaya Allah menjadikan dadanya sesak lagi sempit, seolah-olah ia sedang mendaki langit. Begitulah Allah menimpakan seksa kepada orang-orang yang tidak beriman". (al-An’aam: 125)

Kebanyakan kita melihat hidup akan bahagia kalau ada pangkat, harta dan kekayaan. Namun, kalau ikut perintah Allah, walaupun hidup sederhana tetapi kehidupan individu itu berkat dan tenang.

Untuk itu, sebagai Muslim, hendaklah kita melaksanakan semua tuntutan yang fardu. Ibadat sunat itu adalah sebagai tambahan yang akan menampung kekurangan dalam ibadat fardu. Pada masa yang sama, kita wajib meninggalkan perkara yang haram.

Mengingat Allah itu bukan sahaja dalam solat tetapi terbahagi kepada perbuatan seperti sedekah dan menghadiri majlis ilmu; ingat dengan hati iaitu melalui bertafakur merenung nikmat Allah yang amat banyak dikurniakan kepada kita dan ingat dengan lidah iaitu melalui berzikir.

(dipetik daripada bicara agama, Utusan Malaysia, 25 Jun 2008)

Tuesday, June 24, 2008

Hang Tuah vs Hang Jebat

Saya telah berpeluang menonton filem Allahyarham Tan Sri P Ramlee malam tadi berjudul Hang Tuah. Pada awalnya, filem ini adalh hitam-putih sahaja. Kemudian, filem ini telah dimasukkan warna yang menelan kos amat tinggi.

Jalan ceritanya begitu menyayat hati. Hang Tuah amat setia kepada Sultan dan sanggup melakukan apa sahaja demi menunjukkan taat setianya kepada Sultan sehingga sanggup mengorban cintanya kepada Melur.

Patih Karma Wijaya telah mengambil kesempatan untuk mengatur pertemuan antara Hang Tuah dan Melur, seterusnya memfitnah Hang Tuah mempunyai hubungan sulit dengan Melur. Sultan pula percayakan tuduhan tersebut bulat-bulat dan menjatuhkan hukuman bunuh tanpa usul-periksa.

Sultan memrintahkan Bendahara untuk membunuh Hang Tuah dan juga mengambil kembali keris Taming Sari. Maka, Hang Jebat telah dilantik menjawat jawatan Laksamana yang dikosongkan oleh Tuah.

Hang Jebat tidak berpuas hati dan berazam untuk menuntut bela atas kematian Tuah yang merupakan sahabatnya. Dia kemudian mengamuk serta melakukan huru-hara dan menguasai istana, sehinggakan Sultan terpaksa menumpang di rumah Bendahara.

Sultan menyesal atas tindakannya menjatuhkan hukuman bunuh kepada Tuah. Baginda menyatakan alangkah baiknya jika Tuah masih ada kerana Baginda yakin hanya Tuah yang mampu berlawan dengan Jebat.

Bendahara kemudiannya mengaku kepada Sultan bahawa beliau tidak menjalankan hukuman bunuh tersebut, sebaliknya hanya mengurung Tuah nun jauh di dalam penjara. Sultan amat gembira dan menyatakan kesanggupan untuk mengampuni segala kesalahan Bendahara walaupun sebesar gunung.

Sultan menyuruh Bendahara membebaskan Tuah, seterusnya memberi arahan untuk menangkap/membunuh Jebat. Tuah yang begitu setia dengan Sultan bersetuju untuk menuruti arahan tersebut. Walau bagaimanapun, Tuah sedikit gusar kerana dengan ketiadaan keris Taming Sari di tangannya, tindakannya akan menjadi sukar. Sultan kemudiannya menyerahkan keris pusaka turun temurunnya kepada Tuah sebagai senjata untuk mempertahankan dirinya.

Tuah kemudian mencabar Jebat untuk berlawan satu sama satu. Jebat terkejut dengan kemunculan Tuah secara tiba-tiba itu. Sedangkan segala apa yang dilakukannya hanyalah untuk membalas dendam atas kematian Tuah.

Pergelutan berlaku antara mereka berdua dengan penuh aksi dan debaran. Jebat akhirnya dengan rela hati menyerahkan keris Taming Sari kepada Tuah dan menyatakan dia lebih rela mati di tangan Tuah. Tuah akhirnya menikam Jebat dan Jebat telah meninggal dunia di pangkuannya.

Begitulah berakhirnya kisah penuh tragis antara Tuah dan Jebat.

Filem ini berakhir dengan satu pertanyaan daripada Tuah, "Akukah yang benar atau Jebatkah yang benar?"

Monday, June 23, 2008

The Incredible Hulk

















Salam penuh ceria buat semua. Bertemu kembali di hari Isnin, hari permulaan minggu baru. Diharap cuti hujung minggu telah dimanfaatkan sebaik mungkin.

Saya telah berpeluang menonton satu filem hebat dari Hollywood bertajuk The Incredible Hulk pada 14 Jun lalu.

Fantastic!

Satu filem yang amat menarik dan penuh dengan aksi-aksi hebat. Saya bersama 2 orang sahabat yang menonton amat berpuas hati setelah keluar dari panggung wayang.

Filem ini mengisahkan tentang edward norton (bruce banner/hulk) yang menjadi orang buruan pihak tentera untuk mendapatkan hasil kajian yang dilakukannya. Bruce mendapat pertolongan daripada Liv Tyler (betty ross) dalam usaha menyelamatkan dirinya.

Apabila pihak tentera yang diketuai oleh Jeneral menyerangnya, Bruce akan bertukar menjadi hulk setelah tidak dapat mengawal kemarahannya yang melampau. Namun, pihak tentera juga telah menyuntik salah seorang anggotanya dengan sejenis serum, seterusnya menyebabkan anggota tersebut akhirnya bertukar menjadi raksasa.

Kemudian, raksasa ini telah menyerang orang ramai dan berlawan dengan hulk dalam usaha membuktikan siapa yang lebih gagah. Akhirnya, sudah pastilah hero yang akan menang. Hooray!!!

Satu filem yang amat menarik untuk ditonton oleh seisi keluarga!

Friday, June 20, 2008

20 Jun: Hari Pelarian Sedunia

Salam penuh ceria. Semoga kita sentiasa diberikan kesihatan yang baik dalam meneruskan tugas seharian. Banyakkanlah bersyukur atas segala nikmat yang diperoleh dari Allah. Moga-moga apa jua pekerjaan yang kita lakukan mendapat rahmat dan berkat dari-Nya.

Untuk makluman semua, hari ini, 20 Jun merupakan Hari Pelarian Sedunia yang telah diisytiharkan Persatuan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) sejak 2001. Ini mengambil kira keadaan yang dilalui oleh penduduk negara Afrika yang telah menjadi mangsa pelarian sejak sekian lama.

Alangkah sedihnya melihat keadaan mereka, terpaksa meninggalkan tanahair sendiri atas sebab-sebab yang tak dapat dielakkan. Lari dari satu tempat ke tempat lain. Terpaksa mengemis untuk mendapatkan sesuap makanan.

Tempat tinggal mereka pun amat daif sekali. Pakaian pula ala kadar sahaja. Yang amat memilukan apabila melihat keadaan tubuh badan mereka yang kurus kering disebabkan tak cukup makanan. Anak-anak kecil nampak begitu kurus sekali.

Nah! Lihatlah keadaan mereka tu. Amat jauh sekali berbeza dengan kita di sini. Apa yang boleh kita lakukan?

Sentiasalah bersyukur atas segala nikmat yang kita perolehi setiap hari dengan cara:
1. Elakkan pembaziran semasa berbelanja/makan. Membazir itu saudara syaitan.
2. Amalkan berjimat-cermat semasa berbelanja. Beli barang yang perlu sahaja.
3. Hulurkanlah bantuan mengikut kemampuan seperti derma dan menyertai pasukan sukarela untuk membantu mereka.
4. Insaf dengan keadaan mereka di sana.
5. Menghargai apa yang kita ada dan menghargai orang tersayang di sekeliling kita.

Mudah-mudahan kita dapat mengambil iktibar atas apa yang dilalui oleh mangsa pelarian dan berdoa supaya negara kita dalam keadaan aman selamat, insyaAllah.

Thursday, June 19, 2008

Insurans & Roadtax Kereta

Salam ceria dan selamat bertemu kembali.

Hari ini saya sudah selesai melunaskan pembayaran insurans & roadtax kereta untuk ansuran yang pertama. Kenapa saya kata ansuran yang pertama? Ini kerana bank telah memberikan kemudahan kepada saya untuk membuat pembayaran insurans kereta sebanyak 3 kali.

Beruntunglah saya kan! Alhamdulillah.

Kalau nak bayar sekaligus, mau nya saya ikat perut menunggu gaji pada hujung bulan berikutnya. Kadar roadtax kereta saya hanyalah RM70 yang ditolak terus pada pembayaran pertama. Cuma insurans la boleh bayar 3 kali ansuran.

Saya berpendapat kaedah yang diperkenalkan bank sebegini amat baik kepada pemilik kenderaan. Ini kerana pembeli boleh mengatur belanjawan dengan bijak dan sistematik, tidak membebankan dan memberi sedikit kelonggaran kepada pembeli kenderaan.

Saya difaham bank tersebut telah 5 tahun memperkenalkan kaedah pembayaran insurans kenderaan secara 3 kali ansuran. Wow! Saya sangat-sangat menyokong kaedah begini.

Harap dapat diteruskan lagi pada tahun-tahun mendatang ya!

Wednesday, June 18, 2008

Kursus Kesedaran Akta OSHA 1994

Saya telah berpeluang menghadiri kursus kesedaran Akta Kesihatan dan Keselamatan Pekerjaan 1994 anjuran bersama Bahagian Sumber Manusia dan Budiman Research & Training Sdn. Bhd.

Menarik!

Syabas kepada penceramahnya, Puan Zalina Zainal Abidin yang begitu mantap dalam berkongsi ilmu dengan kami, para peserta kursus.

Kami dibahagikan kepada beberapa kumpulan yang mengandungi antara 5-7 peserta. Jadi, sebahagian masanya, kami mendengar dengan penuh penghayatan ceramah yang disampaikan, dan sebahagiannya lagi dengan aktiviti berkumpulan.

Antara intipati kursus adalah tentang prosedur P-D-C-A yang mewakili Plan, Do, Check and Action. Selain itu, ada juga prosedur S-M-A-R-T yang mewakili:
S - specific
M - measurable
A - achievable
R - reliable
T - tractable

Para peserta juga didedahkan dengan mengenalpasti hazard dan jenis-jenis hazard. Terdapat 7 jenis hazard iaitu:
1. Hazard fizikal
2. Hazard mekanikal
3. Hazard jatuh
4. Hazard kimia
5. Hazard biologi
6. Hazard ergonomik
7. Hazard psikosial

Pada penghujung kursus, berlangsung majlis penutup dan sesi penyamnpaian sijil kursus kepada semua peserta.

Kesimpulannya, kursus ini amat berkesan dan sesuai dilaksanakan kepada para pekerja. Penceramahnya juga dapat menarik minat dan perhatian peserta semasa mengikuti kursus. Diharap kursus seumpama ini dapat diteruskan lagi pada masa hadapan.

Tenangkan Minda dan Emosi

Selamat pagi! Chow san! Vannakam! Good morning! Sobahul khair!

Semoga kehadiran hari ini dapt dimanfaatkan sebaik mungkin oleh kita semua.

Cuba anda tarik nafas dalam-dalam, kemudian hembus perlahan-lahan. Ulang sebanyak 3 kali. Jika anda terbatuk semasa melakukannya, ada kemungkinan anda menghadapi stress peringkat awal. Inilah ilmu yang baru saya perolehi semasa menghadiri kursus Kesihatan dan Keselamatan Pekerja.

Tuesday, June 17, 2008

Kekurangan Pelajar Lelaki di IPTA Kian Serius

Salam sejahtera buat semua. Moga-moga hari ini akan bertambah keberkatan dalam hidup kita dan dimurahkan rezeki.
Hari ini, muka depan Utusan Malaysia memaparkan isu ini sebagai tajuk utamanya. Mmmm, kat mana pelajar lelaki ni? Mereka menghilang ke mana agaknya ye? Kalau nak diikutkan isu ini dah lama diperkatakan. Sekarang ni, kira hangat baliklah. Sejak zaman saya belajar di kampus 3-5 tahun lepas pun dah kecoh dah pasal ni.
Artikel tu menyatakan bahawa 70% pelajar dalam bidang perguruan adalah wanita. Jadi, bermacam-macam andaian la dibuat pasal pelajar lelaki ni. Antara alasan yang saya dengar adalah, pelajar lelaki malas belajar, mereka lebih suka bekerja dulu, dll.
Senario semasa saya belajar dulu, dalam kelas saya hanya ada 16% lelaki berbanding jumlah pelajar Melayu yang kesemuanya 25 orang. Pelajar Melayu pula adalah 40% daripada jumlah keseluruhan pelajar, iaitu 63 orang. Inilah realiti yang kita harus terima.
Sedarlah semua wahai pelajar lelaki dan kaum lelaki!
Bangkitlah untuk kembali mencipta kegemilangan!

Monday, June 16, 2008

Happy Father's Day

Salam ceria dan selamat bertemu kembali pada hari Isnin yang menandakan bermulanya satu lagi minggu baru. Moga kita sentiasa diberikan kesihatan yang baik dan dipermudahkan Allah dalam menjalani kehidupan seharian.
Happy Father's Day! Selamat Hari Bapa kepada semua bapa di dunia ini terutama kepada Abah saya. Terima kasih atas segala-galanya. Abah telah mendidik saya dan adik-beradik menjadi manusia yang berguna. Abah juga menjadi pemimpin keluarga yang baik dalam membimbing kami. Saya sayang sangat Abah.
Saya ingin berkongsi serba-sedikit tentang Abah saya. Beliau adalah seorang yang penyayang, bertanggungjawab, rajin, berani, luas pengetahuan, suka bercucuk-tanam, pandai membaiki sesuatu dan banyak lagi. Yang saya sebutkan tu antara yang paling menonjol la sifatnya.
Selain itu, kalau kami adik-beradik meminta sesuatu daripada Abah, terutamanya yang melibatkan pelajaran, Abah akan bagi dan usahakan sampai dapat. Jarang sekali Abah tidak memenuhi permintaan kami.
Saya juga amat kagum dengan ilmu pengetahuan yang Abah miliki. Begitu luas sekali pengetahuan tentang isu-isu semasa yang Abah tahu. Tanyalah apa sahaja, Abah pasti ada jawapannya.
Abah juga amat mahir dengan jalan-jalan di sekitar Kuala Lumpur ni. Kalau saya nak ke mana-mana seperti ada seminar di sesuatu lokasi, pasti saya akan minta tolong Abah lukiskan peta di atas kertas. InsyaAllah, saya akan sampai ke sesuatu detinasi berdasarkan peta tersebut.
Mmmm, kalau ada apa-apa yang rosak kat rumah tu, Abah la yang jadik McGyver. Abah pandai baiki paip, lampu, suis letrik, dapur gas, sinki dll. KIranya, Abah ni pandai serba-serbi la.
Lagi satu, saya suka sangat dengar Abah bercerita. Dengan gaya dan intonasi suaranya, sesiapa yang mendengar pasti betul-betul menghayati apa jua yang Abah sampaikan. Abah juga agak kelakar sifatnya. Ada-ada aje cerita yang buatkan kami sekeluarga ketawa. Sebab tu sekarang ni Abah suka sangat tengok Just for Laugh.
Saya sentiasa mendoakan Abah diberikan kesihatan yang baik, panjang umur, murah rezeki, mendapat rahmat daripada Allah dan diberikan kegembiraan dalam hidupnya.

Friday, June 13, 2008

Buat Kuih & Jual Kuih

Salam ceria dan selamat bertemu bertemu kembali. Moga kehadiran hari Jumaat akan memberikan barakah dan rahmat buat kita semua.

Hari ini saya ingin menceritakan aktiviti di rumah pada malam tadi. Mama saya telah menerima tempahan daripada jiran sebelah yang memintanya membuat kuih karipap dan agar-agar laici. Katanya, nak buat jamuan pagi di pejabatnya sempena kesyukuran setelah dapat naik pangkat. Maka, Mama telah bersetuju dan pada sebelah petang, Mama dan Angah pun keluar membeli bahan-bahan ynag diperlukan.

Pada malam tadi, selepas keluarga saya selesai makan malam, bermulalah sesi membuat kuih. Yang rumit sedikit adalah untuk membuat karipap, sebab kena gelek kulitnya beberapa kali menggunakan roller. Jumlah karipap yang ditempah adalah 100 biji. Wow! Sakan jugak nak menyiapkannya, adunan dibuat sebanyak 2 kg tepung gandum serta 3 kg ubi kentang. Angah dan Acik lah yang dok mengadap kerja-kerja membuat karipap. Ni memang resepi special, sebab karipap pusing. Kulitnya yang rangup ditambah pula dengan intinya yang memang sedap tu. Nyam! Nyam!

Saya pulak siapkan agar-agar laici. Resepi ini pun istimewa juga sebab saya menggunakan laici dalam tin dan susu ideal sebagai bahan utama. Ummmph! Bau ketika memasaknya pun, kecur air liur dibuatnya. Nak siapkan agar-agar ni sekejap je, selepas dah betul-betul menggelegak, dah boleh dituang ke dalam loyang dan disejukkan. Semuanya 3 loyang agar-agar laici.

Pagi-pagi tadi masa bangun tidur, dah terhidu bau karipap sedang digoreng. Awalnya Mama bangun. Mama cakap dia, Angah dan Acik tidur pukul 3 pagi gara-gara nak siapkan karipap. Ish, ish, ish...Mesti diorang penat betul tu. Nampaknya semua tugas-tugas buat kuih dah siap. Lepas tu, saya dan Mama pergilah hantar semuanya ke rumah jiran sebelah.

Nampaknya, lepas ni kitaorang dah boleh jadi usahawan kuih la :)

Thursday, June 12, 2008

Harga Minyak Kekal

Alhamdulillah, syukur!
Harga minyak petrol/diesel kekal sehingga ke hujung tahun ni. Perkara ini diumumkan oleh PM semalam. Nampaknya semua pengguna boleh menarik nafas lega bila dapat tau berita ni. Tak perlu la berasa gelisah menunggu kemungkinan harga minyak akan naik lagi selepas semakan harga pada setiap bulan.
Untuk makluman, harga minyak dunia adalah sekitar USD130 setong. Wow! Mahal tu. Dan, harga ini dijangka akan terus meningkat dan mungkin boleh mencecah sehingga USD200 setong. Rasa-rasanya, payah benar dah harga minyak nak turun balik. Melainkan, permintaan berkurang di negara-negara belah sana nun.
Kerajaan juga membelanjakan sekitar RM5 bilion untuk membayar rebat kepada semua pemilik kenderaan bagi 2000cc ke bawah, bermula 14 Jun ini. At least ada jugak sedikit imbuhan sebagai usaha kerajaan membantu golongan miskin dan sederhana. Kalau kerajaan tak bagi langsung, melopong je la.
Tapi, yang tak bestnya, harga barang keperluan semakin meningkat sejak kenaikan harga minyak. Lepas satu, satu yang naik. Macam ni, kita semua memang sangat-sangat perlu berjimat dan buat budget betul-betul. Beli barang yang perlu sahaja. So, jadilah a good financial planner, ok.

Wednesday, June 11, 2008

Cara Nak Jimat Minyak

Salam ceria buat semua dan selamat bertemu kembali.

Ketika kita berhadapan dengan krisis kenaikan harga minyak, eloklah kita mempraktikkan beberapa tips mudah dalam usaha menjimatkan penggunaan minyak kereta. Berikut adalah panduan yang boleh diamalkan:

1. Pandu perlahan
Kalau sebelum ini kita suka memandu melebihi 100 km/sejam, berubahlah dengan memandu lebih perlahan, iaitu sekitar 80 km/sejam. Bagi jalan menuruni cerun, hanya perlu lepaskan pedal minyak perlahan-lahan. Selain tu, jangan brek secara mengejut. Ini kerana, lebih banyak tenaga diperlukan apabila kita menekan pedal minyak semula. Saya pun tengah praktis ni. Ramai yang mengatakan tips ini berkesan untuk menjimat penggunaan minyak. Anda pun cubalah!

2. Isi minyak di waktu pagi
Pada waktu pagi, kadar kemeruapan minyak lebih rendah (suhu lebih sejuk), ini bermakna kita mendapat isipadu minyak yang tepat. Berbanding jika mengisi minyak pada waktu tengahari atau petang, kadar kemeruapan adalah lebih tinggi disebabkan suhu lebih panas. Jadi, lebih baik kita amalkan mengisi minyak pada waktu pagi, contohnya dalam perjalanan ke tempat kerja. Cuma, syaratnya kenalah keluar awal sikit, kut-kut jalan sesak dan terlambat sampai ke pejabat pulak.

3. Bertukar kepada NGV
Bagi yang berkemampuan tu, bolehlah bertukar kepada NGV - Natural Gas Vehicle. Ini bermakna kenderaan NGV menggunakan gas asli sebagai bahan bakar. Dengan kos sekitar RM2,000 sehingga RM9,000, pengguna akan lebih berjimat. Ini kerana kos bagi gas asli adalah sekitar 60 sen seliter sahaja. Murah kan! Memanglah, pada permulaannya, perlukan modal, tapi untuk jangka masa panjang, memang banyak jimat. Cuma, masalahnya sekarang ni, bilangan stesen NGV adalah sangat kurang. Hanya stesen Petronas aje yang ada, tu pun bukan semua tempat. Kebanyakan teksi di Kuala Lumpur yang memonopoli penggunaan NGV ni. Jadi, kerajaan perlu memperbanyak stesen NGV dalam usaha menggalakkan rakyat bertukar kepada NGV. Selain itu, kerajaan juga boleh menawarkan rebat cukai jalan bagi kenderaan yang memasang sistem, NGV. Kan bagus tu.

Ok la, selamat bertugas buat semua.


Tuesday, June 10, 2008

Terengganu Juara Sukma XII

Tahniah diucapkan kepada kontinjen Terengganu yang berjaya muncul sebagai juara keseluruhan Sukma XII dengan membawa pulang 61 pingat emas.

Syabas!!!

Sebagai tuan rumah untuk penganjuran Sukma XII bagi tahun 2008, tentulah ini merupakan kejayaan yang amat manis kepada seluruh rakyat Terengganu. Jadi, kerajaan Terengganu pun menghadiahkan cuti umum kepada rakyat Terengganu hari ini. Buat atlet yang berjaya membawa pulang pingat, apa agaknya ganjaran yang mereka dapat ye? Tentulah ada sedikit sebanyak sebagai ganjaran setelah berhempas pulas berjuang mengharumkan nama Terengganu.

Kita juga perlu mempunyai keazaman yang tinggi dan usaha yang bersungguh-sungguh untuk mencapai sesuatu. Kejayaan bukannya datanmg bergolek di depan mata. Semuanya memerlukan usaha gigih. Betul tak?

Selamat melaksanakan tugas anda!

Monday, June 9, 2008

Sorakan Emosi EURO 2008

Salam ceria. Semoga kita sentiasa diberi kesihatan yang baik dalam meneruskan kehidupan.

EURO 2008 sudah bermula! Saya telah berpeluang menyaksikan perasmiannya di Basel, Switzerland yang disiarkan secara langsung menerusi tv jam 11.30 malam pada 7 Jun 2008. Wow! Sangat menarik dan menonjolkan ciri-ciri kebudayaan negara Swiss tersebut.

Selain itu, dapat dilihat penonton yang hadir ke stadium tersebut begitu fanatik untuk menyokong negara mereka melalui pakaian merah-putih mereka. Ada juga yang mengecat muka dengan bendera mereka yang berwarna merah-putih. Suasana ketika itu yang membuatkan saya juga sama-sama teruja.

Kalau nak diikutkan, saya ni bukanlah peminat bola sepak pun, tapi bila baca paper atau tengok berita, tau la jugak perkembangan sukan ni. At least, tidak la menjadi "katak di bawah tempurung". Kenalah ambik tau perkembangan semasa kan.

Perlawanan pembukaan menyaksikan pertembungan antara negara Switzerland menentang Republic Czech. Dan kemenangan telah berpihak kepada Republic Czech.

Semoga keghairahan terhadap bola sepak dapat juga diterjemahkan kepada pekerjaan kita.

Selamat bekerja!

Friday, June 6, 2008

Setitik Peluh, Segunung Manfaat

Apa agaknya maksud kata-kata tajuk di atas?

Anda tahu?

Setitik peluh diumpamakan sebagai usaha gigih yang dilakukan oleh seseorang dalam melakukan sesuatu pekerjaan.

Manakala, segunung manfaat pula adalah kebaikan/kelebihan yang akan diperoleh seseorang hasil daripada usaha bersungguh-sungguh yang dilaksanakan olehnya.

Dalam melakukan sesuatu pekerjaan, buatlah secara bersungguh-sungguh, komited dan sepenuh hati sehingga kita berjaya mencapai hasil yang terbaik dan mencapai objektif yang dikehendaki. Barulah kita puas hati dengan usaha yang kita lakukan. Janganlah sekadar "melepaskan batuk di tangga" atau "hangat-hangat tahi ayam saja".

Malah, kita sepatutnya melakukan seperti "alang-alang menyeluk pekasam, biar sampai ke pangkal lengan" dan "genggam bara apa biar sampai jadi abu".

Selamat maju jaya kepada semua!


Thursday, June 5, 2008

Harga Petrol Naik 78 sen

Salam penuh senyuman buat anda semua. Semoga hari ini lebih indah dan dipenuhi dengan pengisian yang bermanfaat.

Sesak! Begitulah suasana yang berlaku di semua stesen minyak di seluruh negara malam tadi. Ini gara-gara kenaikan harga petrol yang diumumkan oleh Perdana Menteri lewat petang semalam. Dalam perjalanan balik ke rumah semalam, saya mendapati stesen minyak berdekatan rumah diserbu oleh pengguna yang beratur panjang. Jam pada waktu adalah 6.30 petang.

Sah! Ini mesti pasal harga minyak naik. Bila sampai kat rumah, keluarga ada memberitahu bahawa baru keluar berita kt tv pasal ni. Nasib baik saya baru aje isi minyak 2 hari lepas, baru berkurang sepetak. So, tak perlu top-up minyak rasanya. Cam tak berbaloi la nak beratur lama-lama untuk isi minyak.

Abah terus bagitau nak isi minyak sebab dah keluar warning light minyak nak habis. Abah kata, kalau lambat, nanti minyak habis pulak. Hah! Sejam kemudian, baru abah balik, nak dekat pukul 8 malam dah masa tu. Huh! Memang semua kena penangan hebat bila minyak naik ni.

Malam tadi gak kitaorang adik-beradik berhimpit dalam kereta bila pergi ke shah alam sebab nak jumpa atih. 4 orang dok belakang, campur lagi adik bongsu yang beriba atas ma. Hehe. Keluarga saya makan malam dengan atih kat Pak Li, seksyen 17.

Lepas ni, kena ambil langkah yang sesuai untuk menjimatkan penggunaan petrol. Keluar bila perlu sahaja dan berbelanja dengan berhemah.

Wednesday, June 4, 2008

Salam motivasi buat anda semua. Semoga ceria-ceria selalu pada hari ini.

"Friendship is forever"...kawan, sahabat atau apa sahaja yang kita panggil orang yang sangat penting dan berharga dalam hidup kita. Anda sedar atau tidak? Sejak dari kecil sehinggalah kita dewasa, kawan menjadi tempat kita bermain bersama, bergurau-senda, berkongsi cerita, meluah rasa dll. Rasanya, tanpa kawan hidup kita pasti senyi, kan?

Inilah cerita yang ingin saya kongsi. Semalam, ada seorang kawan sepengajian di universiti dengan saya telah menghubungi saya. Dia memberitahu telah bekerja di kawasan sekian, sekian. Saya bertanya lebih lanjut untuk mengetahui lokasi sebenar dia berada. Rupa-rupanya, tempat dia bekerja sangat hampir dengan rumah saya sekarang. What a coincidence!

Saya mengambil keputusan untuk buat surprise kat dia. Balik daripada kerja, saya terus singgah di tempat dia berada. Alangkah terkejutnya dia bila dapat bersua muka dengan saya. Reaksi mukanya begitu gembira dan ceria sekali. Saya pun happy sangat. Maklumlah, kami pun dah lama sangat tak berjumpa. Rasanya dah setahun lebih masa last kami jumpa.

Sempat la jugak kami berbual mesra, bertanya khabar dan bercerita tentang perkembangan diri masing-masing. Alhamdulillah, masing-masing gembira dengan kehidupan yang dilalui. Begitulah pertemuan antara kami.

Semoga kami dapat berjumpa dengan lebih kerap lagi, insyaAllah.

Ok, selamat menjalankan tugas!

Tuesday, June 3, 2008

Harga Minyak Naik Ogos?

Salam ceria buat semua dan bertemu kembali.

Hari nie surat khabar memaparkan tentang harga minyak yang berkemungkinan naik pada bulan Ogos depan. wow! nampaknya semua orang harus terima kenyataan yang kerajaan memang dah tak mampu lagi menanggung harga subsidi minyak (petrol/diesel/gas) yang semakin meningkat dari semasa ke semasa.

Walaubagaimana pun, difahamkan bahawa kerajaan sedang mengkaji mekanisme baru yang akan diguna pakai untuk penjualan minyak. Ini juga bermakna akan ada sebahagian rakyat yang mungkin terpaksa membayar harga minyak yang lebih tinggi. Mungkin golongan yang berpendapatan rendah masih diberikan subsidi minyak. Macam mana agaknya mekanisme yang akan dilaksanakan?

Saya berpendapat, subsisidi hanya layak diberikan kepada golongan yang menggunakan kereta cc rendah, contohnya 1.5cc dan ke bawah. So, kereta-kereta mewah tu terpaksalah membayar minyak pada harga lebih tinggi. Sesuailah kan! Sebab orang yang pakai kereta mewah ni tentulah orang kaya yang pendapatannya pun tentulah jauh lebih besar, contohnya bisnesman la.

So, kita tunggu je lah nanti apa kesudahan cerita minyak ni.

Diharap mekanisme yang bakal diumumkan nanti mendapat sokongan rakyat.

Ok, have a nice day!

Monday, June 2, 2008

Superhero Movie


Salam ceria buat semua dan selamat bertemu kembali. Semoga kita sentiasa diberi kesihatan yang baik dalam menjalani kehidupan seharian. Macam mana dengan cuti hujung minggu anda? Apa aktiviti menarik yang anda lakukan?
Untuk makluman, saya telah membawa adik-adik menonton wayang di GSC Alamanda, Putrajaya pada hari Sabtu lepas. Pada awalnya, kami merancang untuk menonton filem Narnia atau Ironman. Adik-adik memang excited sangat nak tengok wayang, maklum lah inilah peluang mereka untuk menonton sempena cuti sekolah. Kami sampai awal di sana untuk booking tiket, namun sedikit hampa kerana filem yang menjadi pilihan tiada dalam senarai untuk waktu tayangan terdekat. Narnia pun pukul 1 petang baru ada. Waktu itu jam baru sahaja pukul 11 pagi. Takkan lah kami nak menunggu selama 3 jam semata-mata untuk tengok Narnia. Kami mengambil keputusan untuk memilih filem lain yang bersesuaian dan hampir waktu tayangannya.
Nah, filem yang menjadi pilihan waktu itu adalah Superhero Movie. Wah, excited jugak tengok poster filemnya. First impression kami, mesti jalan ceritanya ala-ala X-man atau Fantastic Four. Namun, tanggapan itu meleset sama sekali setelah kami berada dalam panggung dan menonton filem tersebut. Hampeh!!! Plot cerita yang lemah dan almost all scenes diciplak dari filem Spiderman dan X-man. Huh! Tak kami sangka. Lawak-lawak yang dibuat pulak adalah lawak bodoh.
Patutlah filem ni tak meluas publisiti dia kat tv. Sebab jalan ceritanya tak best. Ini memang satu pengajaran yang berguna buat kami adik-beradik. Lain kali, tak nak dah tengok filem macam ni. Kami akan pilih yang betul2 best baru tengok wayang.
Ok, kepada kaki wayang, pilihlah filem yang berkualiti semasa menonton.
Jangan tertipu kepada poster cantik semata-mata.
Selamat bekerja!