Tuesday, June 24, 2008

Hang Tuah vs Hang Jebat

Saya telah berpeluang menonton filem Allahyarham Tan Sri P Ramlee malam tadi berjudul Hang Tuah. Pada awalnya, filem ini adalh hitam-putih sahaja. Kemudian, filem ini telah dimasukkan warna yang menelan kos amat tinggi.

Jalan ceritanya begitu menyayat hati. Hang Tuah amat setia kepada Sultan dan sanggup melakukan apa sahaja demi menunjukkan taat setianya kepada Sultan sehingga sanggup mengorban cintanya kepada Melur.

Patih Karma Wijaya telah mengambil kesempatan untuk mengatur pertemuan antara Hang Tuah dan Melur, seterusnya memfitnah Hang Tuah mempunyai hubungan sulit dengan Melur. Sultan pula percayakan tuduhan tersebut bulat-bulat dan menjatuhkan hukuman bunuh tanpa usul-periksa.

Sultan memrintahkan Bendahara untuk membunuh Hang Tuah dan juga mengambil kembali keris Taming Sari. Maka, Hang Jebat telah dilantik menjawat jawatan Laksamana yang dikosongkan oleh Tuah.

Hang Jebat tidak berpuas hati dan berazam untuk menuntut bela atas kematian Tuah yang merupakan sahabatnya. Dia kemudian mengamuk serta melakukan huru-hara dan menguasai istana, sehinggakan Sultan terpaksa menumpang di rumah Bendahara.

Sultan menyesal atas tindakannya menjatuhkan hukuman bunuh kepada Tuah. Baginda menyatakan alangkah baiknya jika Tuah masih ada kerana Baginda yakin hanya Tuah yang mampu berlawan dengan Jebat.

Bendahara kemudiannya mengaku kepada Sultan bahawa beliau tidak menjalankan hukuman bunuh tersebut, sebaliknya hanya mengurung Tuah nun jauh di dalam penjara. Sultan amat gembira dan menyatakan kesanggupan untuk mengampuni segala kesalahan Bendahara walaupun sebesar gunung.

Sultan menyuruh Bendahara membebaskan Tuah, seterusnya memberi arahan untuk menangkap/membunuh Jebat. Tuah yang begitu setia dengan Sultan bersetuju untuk menuruti arahan tersebut. Walau bagaimanapun, Tuah sedikit gusar kerana dengan ketiadaan keris Taming Sari di tangannya, tindakannya akan menjadi sukar. Sultan kemudiannya menyerahkan keris pusaka turun temurunnya kepada Tuah sebagai senjata untuk mempertahankan dirinya.

Tuah kemudian mencabar Jebat untuk berlawan satu sama satu. Jebat terkejut dengan kemunculan Tuah secara tiba-tiba itu. Sedangkan segala apa yang dilakukannya hanyalah untuk membalas dendam atas kematian Tuah.

Pergelutan berlaku antara mereka berdua dengan penuh aksi dan debaran. Jebat akhirnya dengan rela hati menyerahkan keris Taming Sari kepada Tuah dan menyatakan dia lebih rela mati di tangan Tuah. Tuah akhirnya menikam Jebat dan Jebat telah meninggal dunia di pangkuannya.

Begitulah berakhirnya kisah penuh tragis antara Tuah dan Jebat.

Filem ini berakhir dengan satu pertanyaan daripada Tuah, "Akukah yang benar atau Jebatkah yang benar?"

No comments: